Sepanduk minta PM letak jawatan berniat jahat, kata Fahmi Fadzil


Noel Achariam

Sepanduk yang dilihat di Bangsar digantung di sebuah jejambat berbunyi: "Mahathir letak jawatan! Anwar Ibrahim PM ke-8. Demi Selamatkan Malaysia”. – Gambar Facebook, 20 Februari, 2019.

BEBERAPA sepanduk yang digantung pagi tadi, memaparkan kata-kata meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan, sengaja digantung dengan niat, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah Komunikasi PKR dan ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beberapa sepanduk digantung serentak di pelbagai tempat, kelihatan seperti dirancang.

“Sepanduk itu menunjukkan yang ia sengaja dirancang dan cuba menghasut kebencian dan perselisihan dalam Pakatan Harapan,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Sepanduk yang dilihat di Bangsar digantung di sebuah jejambat berbunyi: “Mahathir letak jawatan! Anwar Ibrahim PM ke-8. Demi Selamatkan Malaysia”.

Sepanduk sama juga dilaporkan dipasang di MRR2 dekat pasar raya Giant di Taman Permata, Kuala Lumpur.

Fahmi berkata sepanduk juga kelihatan di Taman Melawati dan kawasan lain.

“Ini perlu dilihat secara serius kerana ia menyalahgunakan ruang awam. Saya percaya ia berniat jahat.

“Mereka pilih Jalan Bangsar supaya ia memberi kesan maksimum,” katanya.

Fahmi telah mengarahkan kakitangannya membuat laporan polis. – 20 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen