JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sudah memulakan siasatan ke atas pemberian dan pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) antara Johor dan Singapura pada 2015, akan memanggil lebih ramai saksi termasuk bekas menteri pengangkutan untuk membantu siasatan.
Pengerusi PAC Ronald Kiandee ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini berkata bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai dan bekas ketua setiausaha kementeriannya mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Liow masih belum menerima notis 14 hari untuk memberi keterangan, mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
Beliau mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan semasa sesi Parlimen akan datang jika menerima notis dalam tempoh berkenaan.
Kiandee berkata PAC juga boleh memutuskan sama ada bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak perlu dipanggil untuk memberi keterangan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan sekarang, Mohd Khairul Adib Abd Rahman memberi kenyataan hari ini.
“Keterangan yang diberi hari ini tidak mencukupi untuk menyimpulkan kes. Kita akan memanggil lebih ramai saksi dan tidak menolak akan memanggil bekas menteri dan bekas ketua setiausaha kementerian terbabit,” kata Kiandee.
Persoalan penting prosiding tersebut termasuklah bagaiamana projek itu diberi, rekod prestasi dan latar belakang syarikat yang diberikan projek serta kelewatan projek itu meskipun diberi lanjutan sebanyak tiga kali. – 20 Februari, 2019.
Komen