SEKUMPULAN organisasi bukan kerajaan pro-Pakatan Harapan (PH) menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerugian lebih RM500 juta susulan urus niaga melibatkan tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua kumpulan, Asri Talib, berkata kerugian RM500 juta adalah jumlah yang besar dan boleh digunakan untuk kebajikan para anggota.
“RM500 juta juga boleh digunakan untuk menjaga kesejahteraan veteran dan kakitangan tentera.
“Ini adalah jumlah yang besar dan boleh digunakan untuk banyak perkara bagi membantu mereka, terutamanya pembangunan angkatan bersenjata,” katanya selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.
Asri berkata kumpulan yang terdiri daripada 31 NGO, mahu pihak berkuasa menyiasat siapa yang terlibat dan ke mana dana itu pergi.
Penipuan itu ditemui oleh Jawatankuasa Siasatan Khas (SIC), yang dibentuk selepas PH membentuk kerajaan persekutuan, dan ditugaskan untuk memeriksa permerolehan dan prosedur pentadbiran kerajaan.
Jawatankuasa itu menemui 16 projek pertukaran melibatkan 1,183 hektar tanah milik kementerian itu dengan harga RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion, dedah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semalam.
Presiden Persatuan Angkatan Bersenjata Malaysia, Razali Zakaria, yang hadir hari ini, berkata ia adalah jelas mempunyai unsur rasuah.
“Terdapat unsur campur tangan politik dan penyalahgunaan kuasa dalam transaksi penukaran tanah.
“Isu ini mesti disiasat hingga ke teras masalah dan mendedahkan mereka yang terlibat kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya.
Isu ini pertama kali dibangkitkan oleh bekas menteri Kabinet Rafidah Aziz tahun lepas yang tanah ATM di seluruh negara ditukar dengan sebuah syarikat swasta.
Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata Najib Razak, yang juga menteri pertahanan pada 2008, mencadangkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah pihak tentera kepada sebuah syarikat yang dimiliki tiga individu, yang sudahpun diluluskan dan dilaksanakan. – 19 Februari, 2019.
Komen