KEBEBASAN seni di Malaysa masih terancam walaupun selepas perubahan kerajaan, kata penggiat teater Fa Abdul selepas pembatalan karyanya kerana bantahan kumpulan haluan kanan Islam minggu lepas.
Pada petang Khamis Hari Valentine lalu, sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Jaringan Muslimin Pulau Pinang mengadakan bantahan di luar Penang Performing Arts Center (penangpac) di Straits Quay membantah pementasan teater karya Fa, yang pada mulanya bertajuk “Sex in Georgetown City”.
Walaupun sudah meminta maaf kerana terlepas pandang sensitiviti tajuk dan menamakan semula pementasan itu sebagai “Love in Georgetown City”, pengecamnya masih tak berpuas hati. Mereka menuntut ia dibatalkan, mendakwa ia “filem kotor” dan menuduh pihak terlibat mempunyai “agenda tertentu”.
Kumpulan itu terus melakukan kecaman- bukan hanya terhadap Fa dan penangpac- tetapi juga pihak berkuasa agama, mufti negeri malah polis, menuduh mereka gagal menghalang “pihak yang menghina Islam”.
Protes yang penuh emosional itu, yang turut disiarkan secara langsung di Facebook dan mendapat liputan meluas media menyebabkan polis menasihatkan Fa dan penangpac untuk membatalkan pementasan itu, yang dijadualkan berlangsung hingga Ahad.
Kebebasan seni terancam
Fa yang ditemui The Malaysian Insight berkata, walaupun Malaysia sudah mengalami perubahan kerajaan, kejadian terbaru itu membuktikan pihak yang menolak perbezaan idea tetap akan menang.
“Sungguh malang sekali tak kisah parti mana tadbir kerajaan, kita nampaknya akan selalu mahu memuaskan kumpulan ini, “ katanya kepada The Malaysian Insight.

Fa yang dikecam pengkritik karyanya kerana pandangan liberalnya berkata, beliau sangat marah, tawar hati dan kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.
Katanya, beliau bimbang pementasan akan datang oleh Big Nose Productions, walaupun beliau tidak akan membenarkan pengalaman pahitnya itu menghalangnya untuk terus berkarya.
Katanya, agenda mereka hanyalah mementaskan teater yang menarik dan mencetuskan perbincangan untuk dinikmati masyarakat.
“Kami mahu terus memberi kepuasan kepada ratusan penonton kami berbanding sekelompok mereka yang mungkin tak pernah pun masuk dewan teater.”
Jadi orang Islam yang berfikir
Pengecam Fa membuat pelbagai tuduhan ke atasnya dan karyanya tanpa menonton persembahan tersebut.
Mereka menuduh penerbit dan teater itu mempromosi seks bebas dan LGBT menerusi seni, malah mendakwa Fa penyokong seks luar tabii.
Teater itu adalah komedi yang mempunyai 10 adegan lapan minit setiap satu menyentuh isu sosial masyarakat.
Topik termasuklah hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia dan kecurangan yang terjadi dalam masyarakat.
“Setiap orang ada pemikiran dan idea berbeza tentang kepercayaan agama mereka, walau apa pun ia.
“Pada pandangan peribadi saya, orang seperti pembantah ini lebih gemar mendekati isu dengan cara mudah berbanding berdepan dengannya, terutama sekali mereka tidak pernah diperkasakan untuk berfikir, menganalisis dan merasionalkan isu yang diluar pemahaman mereka…ketidakpedulian memang menenangkan,” kata Fa.

Menyentuh mengenai dakwaan beliau seorang “liberal”, katanya, terma tersebut mempunyai maksud berlainan untuk orang berbeza, ada yang berpandangan ia bermaksud hidup tanpa sempadan dan ada juga yang berpandangan “liberal” bermaksud kemampuan berfikir, menganalisis dan merasionalkan sesuatu perkara dalam gambaran lebih besar sebelum buat keputusan.
Katanya, beliau percaya Islam menggalakkan penganutnya menjadi “liberal” dalam aspek berfikir dengan lebih luas dan mendalam.
“Ada salah tanggapan besar yang mana liberal dianggap bertentangan dengan konservatisme. Ini salah. Orang yang liberal tak bermaksud mereka tak konservatif.
“Saya percaya dalam Islam, kita digalakkan untuk berfikir, menganalisis dan membuka fikiran bagi perbincangan yang sihat, berbanding hanya terima bulat-bulat. Dalam konteks ini, saya percaya Islam menggalakkan penganutnya untuk jadi liberal,” katanya.
Tajuk inspirasi rancangan TV
Menyentuh nama teaternya yang jadi kontroversi, Fa mengakui tajuk asal yang mengandungi perkataan “seks” dan maklum balas awam terhadapnya disebabkan “salah tindakan”. Beliau tidak terfikir yang tajuk itu akan menyinggung sesetengang “pihak sensitif”.
Fa berkata, tajuk itu adalah inspirasi sebuah siri TV popular era 90-an yang mengisahkan tentang cinta dan perhubungan dan mahu mempersembahkannya dalam konteks Malaysia.
“Sex and the City” adalah drama komedi romantik Amerika yang ditayangkan sejak 1998 hingga 2004 berkisar kehidupan sosial wanita. Drama itu ditayangkan untuk rakyat Malaysia menerusi saluran HBO di Astro.
“Dalam mana-mana pementasan seni, artis mahu menarik perhatian massa. Publisiti dilakukan dalam cara tertentu untuk menarik minat orang ramai untuk terlibat.
“Kami putuskan tajuk, visual dan publisiti untuk khalayak sasaran kami- mereka ‘pihak sensitif’ bukan khalayak sasaran kami dan kami tak jangka tindak balas buruk,” katanya.
“Bagaimanapun, dalam kes ini, kami perlu mengakui tajuk dan publisiti disebaliknya adalah tersalah langkah. Publisiti yang lebih terselindung boleh menghalang isu ini jadi kontroversi.
“Pengajaran daripada kejadian ini adalah untuk lebih berhati-hati dalam menarik khalayak kepada bahan artistik kami.”
Katanya, beliau akan rela memilih tajuk berbeza daripada mula, jika tahu kontroversi akan seburuk ini.
Love in Georgetown City mula ditayangkan Khamis lalu, sebelum dibatalkan demi kepentingan awam seperti nasihat pihak berkuasa. Ia tidak pernah ditayangkan di mana-mana sebelum ini.
Fa berkata mereka menanggung kerugian kerana pembatalan itu, tetapi tidak mendedahkan jumlah tiket terjual, pementasan itu habis dijual pada Jumaat. Penangpac dalam kenyataan menyebut berkata penonton yang sudah membeli tiket untuk pementasan yang dibatalkan akan mendapat kembali wang mereka.
Ditanya jika beliau akan mementaskan teater itu di tempat lain, Fa berkata Big Nose Productions sentiasa terbuka kepada idea dan peluang untuk mementaskan dan mementaskan semula karya mereka.
“Bagaimanapun, disebabkan kontroversi terbaru ini, kami perlu lebih hati-hati kerana tempat lain juga ada sensitiviti berbeza,” katanya. – 23 Februari, 2019.
Komen