PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata beliau tidak tergesa-gesa untuk membasmi program senjata nuklear Korea Utara meskipun perkara itu kekal menjadi matlamat utama beliau, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Trump dijangka bertemu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi, Vietnam pada 27 dan 28 Februari bagi membincangkan proses pembasmian program senjata nuklear rejim itu.
“Saya hanya ingin melihat, pada akhirnya, pembasmian senjata nuklear berlaku di Korea Utara,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih sebelum menambah bahawa beliau “tidak mempunyai jadual waktu yang mendesak.”
“Selagi tidak ada ujian, saya tidak perlu tergesa-gesa,” katanya merujuk kepada beberapa siri ujian senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara yang dilakukan sejak akhir 2017.
“Jika ada, itu perkara lain,” kata Trump sambil menambah “saya harap perkara yang amat positif akan berlaku.”
Sidang kemuncak pertama Trump-Kim di Singapura pada Jun tahun lepas telah menyaksikan komitmen Korea Utara ke arah pembasmian senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan AS.
Pertemuan minggu depan dijangka mencapai kata sepakat meskipun terdapat kritikan bahawa Korea Utara belum mengambil langkah konkrit untuk membasmi program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
Wakil Khas AS bagi Korea Utara Stephen Biegun kini dalam perjalanan ke Hanoi untuk melakukan persiapan bagi sidang kemuncak kedua, menurut Jabatan Negara.
Rakan sejawat beliau, Kim Hyok Chol, telah dilihat di Beijing sebelum berlepas ke ibu kota Vietnam itu. – Bernama, 20 Februari, 2019.
Komen