PBB kutuk insiden serangan maut di Idlib, Syria


PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk insiden pengeboman bandar Idlib di barat laut Syria, yang menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam, lapor agensi berita China Xinhua memetik jurucakap badan dunia itu pada Selasa.

Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh dalam insiden pengeboman berganda pada Isnin di kejiranan al-Qusor di Idlib manakala hampir 100 lagi cedera termasuk orang awam dan sukarelawan, kata Stephane Dujarric, jurucakap setiausaha agung PBB, dalam satu taklimat akhbar rutin.

“PBB amat khuatir dengan laporan bahawa terdapat tindakan yang seolah-olah sengaja mencetuskan permusuhan dan peningkatan jumlah kematian serta kecederaan dalam insiden di bahagian barat laut Syria itu,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 130 sekolah di kawasan gabenor Idlib masih ditutup susulan insiden tersebut yang menjejaskan hampir 50,000 pelajar, kata Dujarric.

PBB terus menggesa pihak yang terbabit dalam konflik itu agar memastikan perlindungan terhadap orang awam dalam usaha menghentikan tindakan memusnahkan hospital dan struktur awam lain yang penting kepada penduduk.

Letupan berganda itu dipercayai dicetuskan oleh kenderaan yang sarat dipenuhi bahan letupan, yang telah memusnahkan kawasan al-Qusor di bahagian tengah Idlib, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria. – Bernama, 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen