AMERIKA Syarikat (AS) memberi sokongan terhadap India pada Selasa dan menggesa Pakistan menghukum mereka yang bertanggungjawab di sebalik serangan bunuh diri di Kashmir yang mengorbankan 40 anggota keselamatan India.
“Kami berkomunikasi secara rapat dengan kerajaan India untuk menyatakan bukan hanya sekadar ucapan takziah tetapi sokongan kuat kami terhadap India ketika ia berdepan keganasan ini,” kata jurucakap Jabatan Negara Timbalan Robert Palladino kepada pemberita.
“Kami menggesa Pakistan bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan serangan itu dan menghukum sesiapa yang bertanggungjawab.”
Palladino berkata AS rapat dengan kedua-dua negara sejak serangan 14 Februari, yang didakwa dilakukan kumpulan Islam berpangkalan di Pakistan Jaish-e-Mohammed.
“Kami menyeru semua negara menegakkan tanggungjawab mereka menurut resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menafikan tempat selamat dan sokongan bagi pengganas,” kata Palladino.
India sebelum ini meminta Pakistan mengambil “tindakan yang boleh dipercayai dan nyata” terhadap pelaku serangan tersebut, menolak tawaran Perdana Menteri Imran Khan untuk menyiasat sebarang bukti yang ditawarkan oleh New Delhi.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menghadapi tekanan dari pihak nasionalis Hindu untuk bertindak tegas terhadap serangan itu, yang datang beberapa minggu sebelum beliau diramal mengadakan pilihan raya umum.
AS mempunyai hubungan yang semakin rapat dengan India daripada bidang pertahanan hingga ke perdagangan.
Setelah bertahun-tahun mencari keseimbangan dalam hubungannya antara kuasa bersenjata nuklear, AS di bawah Presiden Donald Trump mengambil tindakan keras terhadap Pakistan, memotong bantuan berhubung kerjasama Islamabad dengan ekstremis yang aktif di Afghanistan. – AFP, 20 Februari, 2019.
Komen