UK perluas zon larangan lepaskan dron di lapangan terbang


Puluhan ribu penumpang terkandas di Lapangan Terbang Gatwick pada Disember lalu apabila beberapa dron sengaja diterbangkan di kawasan landasan. – Gambar AFP, 20 Februari, 2019.

ZON larangan menerbangkan dron dalam jarak 5 kilometer dari lapangan terbang Britain akan berkuatkuasa bulan depan, kata kerajaan pada Rabu, selepas insiden dron yang sengaja dilepaskan menyebabkan gangguan teruk di lapangan terbang Heathrow dan Gatwick.

“Zon yang diperluaskan itu akan melindungi lapangan terbang di UK daripada mereka yang menyalahgunakan dron, dan akan mula berkuatkuasa pada 13 Mac,” kata kementerian pengangkutan dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata ia juga bekerjasama dengan Jessops, sebuah rangkaian kedai elektronik, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

Kerajaan sedang menyusun undang-undang yang akan memberi kuasa kepada pegawai polis untuk menghentikan dan mencari orang yang “disyaki menggunakan dron dengan niat jahat,” katanya.

Ia juga akan membenarkan polis “mengakses data elektronik yang disimpan pada dron dengan waran,” tambahnya.

Adalah menjadi satu kesalahan undang-undang menerbangkan dron dalam jarak satu kilometer dari sempadan lapangan terbang di Britain.

Membahayakan pesawat dengan dron juga adalah kesalahan jenayah yang boleh dihukum sehingga lima tahun penjara.

Puluhan ribu penumpang terkandas di lapangan terbang Gatwick apabila penerbangan terpaksa ditangguhkan selama tiga hari selepas beberapa dron sengaja diterbangkan berhampiran kawasan itu.

Lapangan Terbang Heathrow, hab paling sibuk di Eropah, menggantung semua penerbangan berlepas selama kira-kira satu jam bulan lalu berikutan kelibat dron. – AFP, 20 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen