Peguam negara berhujah secara lisan di tribunal bekas pesuruhjaya SPR


Ragananthini Vethasalam

Peguam Negara Tommy Thomas akan berhujah secara lisan mengenai sama ada tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku bekas anggota SPR semasa PRU14 bersifat akademik atau sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2019.

PEGUAM Negara Tommy Thomas akan berhujah secara lisan mengenai sama ada tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah bersifat akademik atau sebaliknya.

Notis daripada setiausaha tribunal, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, mendedahkan tarikh prosiding seterusnya ditetapkan pada 28 Februari. Ia meminta pihak yang terlibat dalam prosiding untuk hadir.

Ini disahkan oleh jurucakap daripada Jabatan Peguam Negara.

“Berikutan prosiding tribunal yang diadakan pada 28 Januari 2019, tribunal bersetuju untuk bersidang pada 28 Februari untuk mendengar penghujahan secara lisan daripada peguam negara berhubung permintaannya.

“Semua peguam yang direkodkan sebagai anggota SPR turut diundang untuk mengemukakan isu awal sama ada prosiding tribunal ini adalah akademik atau sebaliknya. Peguam yang ingin mengemukakan penghujahan bertulis terlebih dahulu kepada tribunal boleh mengajukannya kepada setiausaha tribunal,” tulis surat itu.

Enam bekas anggota SPR yang sedang disiasat ialah Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupiah dan Leo Chong Cheong.

Lima daripada enam anggota itu mengumumkan peletakan jawatan mereka pada 18 Oktober 2018, sehari selepas pengumuman tribunal ditubuhkan oleh kerajaan.

Ahli keenam turut serta dalam tindakan itu pada 27 November 2018. Peletakan jawatan kesemua mereka berkuat kuasa pada 1 Januari.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, ketua pembaharuan pilihan raya Malaysia, Abdul Rashid Abdul Rahman, mendakwa SPR menyebelahi satu pihak dalam PRU14 dan berterus-terang mengenainya, menyifatkannya sebagai pilihan raya paling buruk yang pernah diadakan di negara ini.

Rashid, seorang pegawai pilihan raya yang berkhidmat dalam SPR dalam pelbagai kapasiti, berkata PRU14 adalah paling buruk pernah dilihatnya selama 27 tahun berkhidmat dari segi keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya, sambil menambah ia kelihatan seperti SPR menerima arahan daripada kerajaan.

Pada hari pertama perbicaraan tribunal bulan lalu, peguam bagi enam bekas pesuruhjaya memberitahu tribunal yang prosiding tersebut adalah akademik kerana anak guam mereka sudah meletak jawatan daripada jawatan mereka.

Tribunal kemudiannya menangguhkan keputusannya sama ada untuk meneruskan prosiding. – 20 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen