Industri buku indie menuju mati?


Zainal Rashid Ahmad

PADA 2006 muncul dua jenama aneh sebagai pelopor yang menongkah arus perdana penerbitan buku di Malaysia.

Dua jenama berjiwa rebel yang muncul di Kuala Lumpur 12 tahun lalu hanyalah entiti penerbitan kecil yang turut bangkit menyertai gerakan indie global. Semangatnya pada penerbitan buku.

Gerakan ini membentuk koloni baharu tanda satu protes anak muda generasi alaf baharu (pasca moden) yang tidak mahu tunduk dan akur pada syarat kandungan buku yang berkiblatkan kepada idea-idea kolot arus perdana.

Penulis dan penerbit koloni indie ini mahu melahirkan buku yang 100% berdasarkan aspirasi sendiri tanpa telunjuk, kawalan dan syarat-syarat yang dilihat tidak munasabah dan tidak lagi releven dengan nuansa semasa.

Muncullah Sindiket Soljah dan Neo Hikayat.

Nama pun aneh – tapi sesuai dengan semangat mahu menolak segala bentuk pembulian penerbit arus perdana. Era penulis bergantung nyawa dan menyerahkan kawalan kandungan dan kaedah pemasaran buku kepada penerbit besar sudah berakhir. Sekali pun mustahil kiamat!

Pengasas Sindiket Soljah, Azalan Hussain alias Sinaganaga menjelaskan, tahap kawalan penerbit arus perdana terhadap kandungan buku terutama sastera, sudah tidak boleh diterima penulis generasi muda alaf baharu.

“Kayu ukur moral, tata negara, alasan agama dan budaya tempatan yang dijadikan garis panduan, sangat meloyakan,” katanya.

Penerbit arus perdana, kata Sinaganaga, sengaja menggunakan semua nilai-nilai konservatif ini secara jumud hingga menjadi doktrin dan dogma kesusasteraan yang melampau.

“Antara 2006 hingga 2013, penerbitan indie tumbuh subur dan sekelip mata membina khalayak sendiri,” katanya.

Pada tujuh tahun era kebangkitan penerbit indie yang serba menggelegak itu, lahir sekitar 30 syarikat penerbitan kecil. Malah, ada yang beroperasi secara “one man show” dan pejabat hanya di dalam kereta.

“Sekitar 300 judul buku diterbitkan dengan nilai pasaran hampir RM5 juta setahun. Pada waktu itu, sokongan pembaca yang sudah jelak dengan buku-buku didaktik dan skema terbitan arus perdana, menjadikan judul terbitan indie satu pilihan,” kata Sinaganaga yang ditemui di Studio Anai-anai di Kuala Lumpur.

Solidariti penerbit dan karyawan indie juga membentuk rantaian aktivis seniman muda dalam satu ikatan. Mereka kerap bergabung dan mengadakan pelbagai aktiviti tanpa sesen pun dana kerajaan.

Asal ada ruang, di situ ada persembahan. Asal ada persembahan, di situ ada jualan buku.

Dalam tempoh itu, Sindiket Soljah berjaya mengadakan 50 acara Maskara yang khusus untuk persembahan muzik, baca puisi, drama dan tayangan filem pendek yang dihasilkan koloni indie.

“Acara Maskara dibuat secara bulanan dan anak muda bebas mengekpresikan diri dan hasil seni tanpa perlu takutkan doktrin lapuk,” katanya.

Walaupun wujud begitu banyak syarikat penerbitan indie, lahir persaingan sihat. Tiap syarikat memilih ‘nitch’ produk sendiri. Ini membezakan signature atau tanda niaga bahan cetak setiap penerbit. Malah, persefahaman itu berterusan hingga hari ini.

Zon persefahaman yang unik ini telah membina jenama kandungan setiap penerbit dan sifat ini difahami koloni pembaca. Jadi, trend tiap penerbit mewujudkan kelompok penulis dan pembaca yang tersendiri.

“Tiap penerbit menentukan genre sendiri. Walaupun genre sama, kandungannya pula memiliki perbezaan antara satu sama lain. Walaupun sama-sama menerbitkan novel, cerpen dan puisi,” kata Sinaganaga.

Dari stail anekdot ke travelog hinggalah karya noir, penerbit indie berusaha mencipta perbezaan supaya setiap jenama memiliki sifat uniknya yang tersendiri. Walaupun ada kala wujud pertindihan bahan, namun tetap ada perbezaan.

Nama-nama besar seperti Fixi, Neo Hikayat, Selut Press, Lejen Press, Dubook, Thukul Cetak, Terfaktab, Studio Anai-anai dan Matahari berjaya mencetuskan gelombang baharu dengan melahirkan tidak kurang 100 penulis dalam tempoh tujuh tahun.

Malah, angka cetakan bagi judul yang hebat mampu mencapai jualan hingga 50 ribu naskhah. Malah, komuniti indie turut menganjurkan pelbagai festival buku yang bergerak ke seluruh negara bagi membolehkan hasil penerbitan dijual.

Selain menganggap penerbit konvensional sebagai jumud, penerbit indie juga menyifatkan pengedar buku arus perdana sebagai kapitalis model Yahudi.

“Margin untung yang diambil pengedar buku terkenal terlalu tinggi. Ada pengedar elit yang sapu sampai 40% komisen. Apa yang tinggal untuk penulis dan penerbit?” Kata Sinaganaga.

Sebagai alternatif, koloni indie menganjurkan kempen jualan buku sendiri. Pelbagai festival skala kecil diadakan. Antaranya, Maskara, KL Alternatif Book Fair, Pekan Frinjan, Boco, Rantai, JB Writers Readers Fest, KL Reader Pop Fest dan KL Kita Punya.

“Semua program begini menjadi tempat penerbit dan penulis bertemu secara langsung dengan pembaca, pembeli dan membina interaksi dengan peminat sastera indie,” jelasnya.

Namun, mulai 2014, kebangkitan industri buku indie mula menemukan jalan malap. Industri jualan buku jatuh mendadak. Kuasa beli pembaca yang dibina pada 2006 mulai merosot dan ketiadaan gerakan membina pembaca baharu menyebabkan pasaran merudum.

“Pembaca remaja dan muda yang dipupuk pada 2006 hingga 2013,” kata Sinaganaga: “Kini sudah berkeluarga dan banyak komitmen pada isteri dan anak-anak. Sekali gus, daya beli mereka juga mulai melemah.”

Menurut Sinaganaga, kesilapan utama gerakan 2006 hingga 2013 ialah kegagalan koloni indie membina pembaca baharu. Ketika pembaca era 2006 sudah melemah daya belinya, buku-buku indie tidak berjaya membentuk pembeli baharu.

“Ini kitaran yang terabai, dan kami menyedari kelemahan itu. Sekarang hanya tinggal kurang sepuluh penerbit indie yang aktif. Namun, semangat untuk menentang doktrin lapuk mengenai kandungan sastera tetap diteruskan,” jelas Sinaganaga.

Walaupun kurang 50 judul buku terbitan indie dihasilkan, aktivis indie seperti Sinaganaga tetap meneruskan perjuangan. Dalam kemelesetan akibat kos sara hidup yang tinggi, buku kini bukan pilihan masyarakat.

“Kita balik ke enam keperluan asas yang digariskan PBB. Orang lebih utamakan pada makanan, kediaman, pendidikan, perubatan, pakaian dan keperluan dalam rumah serta rekreasi,” katanya.

Dengan 40% rakyat negara ini (B40) berpendapatan rendah, industri buku secara automatik kehilangan 10.5 juta pembaca berpotensi. Begitu juga 5 juta pembaca yang berada dalam kelas bawahan kumpulan ekonomi menengah (M40).

“Kita perlukan formula baharu kalau mahukan angka kadar membaca meningkat. Apa yang hendak dibanggakan kalau rakyat negara ini hanya membaca 1.7 muka surat sehari?” Tanya Sinaganaga.

Dengan pengisytiharan Kuala Lumpur Kota Buku Dunia oleh Unesco pada 2020 nanti, kadar membaca rakyat Malaysia perlu ditingkat pada standard 30 buku setahun.

Malah, Malaysia hanya menerbitkan 17,100 judul buku setahun. Sedangkan kayu ukur Unesco ialah 1% perkapita penduduk. Logiknya pada 2019, Malaysia perlu menerbitkan 32 ribu judul buku.

Indie akan kembali semula sebagai pemacu kepada KL Kota Buku Dunia Unesco. Kitaran perbukuan negara terutama membina kelompok pembaca secara segmen dekad ke dekad adalah keutamaan.

“Setiap sepuluh tahun, pembaca remaja yang aktif akan melemah daya beli kerana faktor memulakan kehidupan berkeluarga. Justeru, sebelum keupayaan melemah, kumpulan remaja yang bakal menjadi pembeli aktif harus dibina,” kata Sinaganaga yang digelar Jeneral Indie. – 20 Februari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen