Penggiat seni perlu ambil kira sensitiviti rakyat majmuk, kata Mujahid


Mohd Farhan Darwis Noor Azam Shairi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata penggiat seni harus memahami sensitiviti yang ada di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Februari, 2019.

KARYAWAN seni harus mengambil kira sensitiviti kaum dan agama dalam berkarya supaya tidak membuka ruang kontroversi yang akhirnya merugikan mereka sendiri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid mengulas kontroversi sebuah teater di Pulau Pinang, “Sex in George Town City” yang kemudiannya dibatalkan walaupun selepas ditukar tajuk kepada “Love in George Town City”.

Menurut Mujahid, kontroversi yang timbul kerana tidak menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia, yang asalnya boleh dielakkan, akhirnya menenggelamkan hasrat karyawan mencipta karya.

“Bagi penggiat seni yang mendesak ruang dan kebebasan yang lebih selesa tanpa tapisan dalam karya, saya seru mereka memahami.  

“Ini bukan barat, ini Malaysia yang ada sensitiviti kaum dan agama yang dia (karyawan) boleh tahu akan ada masalah jika tidak ditangani dengan baik,” kata Mujahid, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di pejabatnya di Putrajaya, minggu ini.

Menurut Mujahid, kontroversi teater di Pulau Pinang timbul kerana ruang kontroversi itu dibuka apabila sensitiviti masyarakat disentuh.

Disebabkan kontroversi itu, katanya, masyarakat sekarang tidak lagi melihat pada isi kandungan persembahan sebaliknya tertumpu pada tajuk teater itu.

“Saya nasihatkan semua pihak jangan timbulkan sesuatu tanpa sebab. Tidak ada isu, tiba-tba buat isu… mungkin ada benda baik nak cerita tapi dengan tajuk itu (sekarang) menjadi masalah. 

“Bila jadi masalah orang tidak lagi tumpu pada mesej, orang akan bahas tentang tajuk dan tidak bincang apa yang nak dibawa,” kata Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar itu percaya sekiranya tidak menggunakan tajuk Sex in George Town City dari awal, pementasan itu mungkin tidak berdepan dengan sebarang masalah.

Pengarah teater Fa Abdul dalam satu wawancara berasingan dengan The Malaysian Insight mengaku tidak menyangka tajuk yang diilhamkan dari sebuah siri komedi televisyen popular “Sex in the City” akan mendapat bantahan sesetengah pihak.

Pementasan teater terbitan Big Nose Production itu dibatalkan atas nasihat polis selepas mendapat bantahan beberapa pihak diketuai Jaringan Muslimin Pulau Pinang. Teater itu dijadual dipentaskan antara 15 hingga 17 Februari.

Bantahan itu bagaimanapun bertolak daripada salah faham kononnya dengan tajuk “Sex in George Town City” ia sebuah persembahan berbaur lucah yang mahu menggalakkan pergaulan bebas.

Polis mengesahkan dakwaan itu tidak betul dan pementasan itu hanyalah sebuah sketsa komedi. Apa yang menjadi masalah ialah kesilapan penganjurnya dalam hebahan pementasan yang memberikan gambaran ia berunsur lucah, kata polis.

Poster dengan judul asal “Sex in George Town City” turut memberi peringatan pementasan itu hanya untuk penonton berumur 16 tahun ke atas.

Menurut Mujahid, tindakan yang menyentuh sensitiviti boleh membawa kepada perbahasan yang akhirnya membuka ruang untuk diambil kesempatan oleh radikalisme.

“Siapa nak buat (persembahan) apa pun, buatlah. Siapa yang rasa tak nak pergi, jangan pergi.

“Tetapi apabila tajuk begitu menimbulkan kebimbangan masyarakat… dengan (tajuk) begitu sensitif, habislah. 

“Masa ini mulalah menyalahkan kumpulan ini terlalu radikal. Bukan terlalu radikal, tetapi kamu buka ruang kepada perbahasan untuk radikalisme mengambil kesempatan.  

“Ini tidak membantu sebenarnya,” katanya.

Untuk masa depan, Mujahid berharap penggiat seni lebih berhati-hati dan mengelakkan unsur yang berupaya mencetuskan ketegangan awam.

“Mana-mana penggiat seni yang tak mahu terikat penapisan pastikan dia bawa perkara tersebut dengan harmoni secara keseluruhan. Tak semua masyarakat faham dengan apa yang dia nak bawa.

“Dia kena ikut garis panduan, tidak boleh timbul kebencian dan keberantakan antara agama dan jangan buat mesej yang boleh timbulkan kekeliruan,” kata Mujahid. – 23 Februari, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen