Pihak berkuasa Iraq bebaskan 5 mangsa culik Daesh


Keadaan keselamatan di Iraq bertambah meruncing selepas pasukan keselamatan Iraq mengisytiharkan berjaya menghapuskan militan Daesh di seluruh negara lewat 2017. – Gambar AFP, 19 Februari, 2019.

PASUKAN keselamatan Iraq pada Selasa membebaskan lima orang awam yang diculik militan Daesh di wilayah barat Anbar, lapor agensi berita Xinhua.

Mereka diculik empat hari lalu di kawasan padang pasir berhampiran bandar Rawa, kira-kira 280 kilometer barat laut ibu negara Baghdad, menurut Datuk Bandar, Hussein al-Uqaidi. 

Pembebasan mereka berlaku selepas operasi dijalankan di sebelah pagi berhampiran gurun itu, kata al-Uqaidi.

Pada Jumaat, seorang pegawai keselamatan berkata militan Daesh telah menculik lima orang awam ketika sedang mencari trufel. 

Baru-baru ini, ramai orang awam diculik atau dibunuh oleh militan Daesh yang aktif di padang pasir Anbar dan di kawasan sepanjang sempadan negara jiran Syria, Jordan dan Arab Saudi.

Keadaan keselamatan di Iraq bertambah meruncing selepas pasukan keselamatan Iraq mengisytiharkan berjaya menghapuskan militan Daesh di seluruh negara lewat 2017.

Bagaimanapun, saki baki anggota Daesh bergabung semula atau melarikan diri ke kawasan padang pasir dan menyerang pasukan keselamatan serta orang awam meskipun operasi memburu militan diteruskan dari semasa ke semasa. – Bernama, 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen