SEORANG pemandu teksi memberitahu mahkamah koroner hari ini bahawa dia terpinga-pinga apabila sebuah trak bomba berundur dan memusingkan kenderaannya sebanyak 180 darjah ketika kemuncak rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada November tahun lalu.
K. Arumugam, 66, mengatakan bahawa trak bomba itu telah bergerak ke sebuah van di hadapan teksinya, dan apabila van itu bergerak, trak bomba tersebut turut menolak teksinya ke belakang.
“Trak bomba itu berlanggar dengan van sehingga menolaknya ke tepi, sebelum saya dapat berbuat apa-apa, trak itu bergerak undur ke bahagian kiri teksi saya dan ia berputar,” katanya.
Arumugam, yang bekerja sebagai pemandu teksi selama 20 tahun, berkata beliau sedang menuju pulang ke rumah dan melewati kawasan tersebut.
DPP Zhafran Rahim Hamzah bertanya kepada Arumugam sama ada dia melihat para perusuh menyerbu trak bomba pada masa itu.
“Saya tidak melihat apa-apa, saya hanya terkejut dan ketakutan ketika trak bomba menerpa ke arah kereta saya,” katanya.
Arumugam memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa selepas keretanya dilanggar dan berputar, dia terperangkap dalam kereta selama 20 minit kerana tidak dapat membuka pintu kereta.
“Saya berada di dalam kereta selama kira-kira 20 minit dan kemudian beberapa orang awam membantu saya kerana pintu kereta saya rosak dan saya tidak dapat keluar.”
Arumugam berkata trak bomba dan van telah meninggalkan tempat kejadian ketika dia berjaya keluar dari keretanya.
“Saya terkejut apabila keluar dari kereta, trak kebakaran dan van telah hilang. Selepas mereka bantu saya keluar, saya kemudian kembali ke dalam kereta dan duduk selama 30 minit bagi menenangkan diri saya kerana saya berasa terkejut dan tidak dapat berfikir,” katanya.
Apabila ditanya sama ada dia melihat sekumpulan orang mengangkat seorang anggota bomba, atau sekumpulan orang dekat kuil itu malam itu, Arumugam memberitahu mahkamah bahawa dia tidak ingat melihat apa-apa ketika kejadian itu.
“Terdapat beberapa orang berdiri di sekeliling saya. ketika itulah mereka bantu saya keluar dari kereta,” katanya lagi.
Turut hadir dalam inkues tersebut ialah peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, dan Syazlin Mansor.
Arumugam adalah saksi kedua belas dalam inkues kematian Adib.
Terdahulu hari ini, saksi ke-11, Nassaruddin Abdullah, 23, seorang juruteknik yang bekerja untuk YTL gagal hadir pada sesi pagi inkues tersebut ekoran mempunyai hal kecemasan keluarga.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember akibat kecederaan paru-paru ketika menjaga kawasan kuil sewaktu rusuhan berlaku.
Siasatan polis mendedahkan bahawa mungkin terdapat dua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan kematian beliau: sama ada beliau dipukul oleh orang ramai atau dilanggar oleh trak bomba.
Inkues ditangguhkan dan akan disambung semula dengan saksi ke-13 pada hari Khamis pukul 10.30 pagi. – 19 Februari, 2019.
Komen