POLIS Turki pada hari Selasa melancarkan serbuan bagi menahan lebih 300 orang, termasuk anggota tentera yang disyaki mempunyai pertalian dengan kumpulan yang dipersalahkan kerana melancarkan kudeta pada tahun 2016, lapor media negara itu.
Pendakwa raya di tiga wilayah terbesar di Turki - Istanbul, Ankara dan Izmir - menerbitkan waran tangkap terhadap 324 orang sebagai sebahagian daripada siasatan lain terhadap pengikut pendakwah Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, lapor media DHA dan agensi berita Anadolu.
Turki menuduh Gulen mengarahkan operasi menjatuhkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 15 Julai 2016 namun tokoh agama itu menafikan dakwan tersebut.
Pendakwa raya Istanbul menuntut penangkapan 53 orang pegawai tentera di 15 wilayah, lapor Anadolu lagi.
Di wilayah Izmir, Aegean, pihak pendakwa mengeluarkan 182 waran tangkap dengan serbuan polis turut dilaksanakan di 42 wilayah, termasuk Izmir.
Pendakwa raya ibu negara itu berkata pihaknya telah mengeluarkan 89 waran tangkap dalam dua siasatan berasingan termasuk siasatan yang meneliti komponen ketenteraan yang bertanggungjawab bagi keselamatan dalam negeri.
Pejabat pendakwa Ankara berkata setakat ini 30 suspek berjaya ditahan. – AFP, 19 Februari, 2019.
Komen