SEORANG pengguna Facebook dengan nama akaun “Foo Sing Wai” kini menjadi sasaran kumpulan Islam di seluruh negara selepas didakwa menghina Nabi Muhammad.
Lelaki itu didakwa menghantar sebuah karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad bertelanjang dengan seorang gadis bogel yang dipercayai menggambarkan isteri baginda, Aishah yang berusia enam tahun.
Aishah, yang dilahirkan pada tahun 613 atau awal 614, adalah salah seorang isteri nabi. Usia beliau ketika berkahwin dengan nabi umat Islam masih diperselisihkan, namun beliau adalah isteri baginda yang termuda. Beberapa sumber hadis mengatakan beliau berusia enam atau tujuh tahun, sementara yang lain berkata beliau berusia sembilan tahun atau remaja.
Namun pemaparan imej dua pemimpin Islam yang tular itu telah menyebabkan kemarahan di kalangan penganut Islam, yang mengatakan bahawa hantaran Facebook itu adalah kasar dan biadab, dan ada juga di kalangan netizen yang meminta supaya tindakan diambil terhadap pengguna tersebut.
Banyak laporan diserahkan oleh beberapa kumpulan Islam kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata pengguna Facebook tersebut harus berdepan dengan “hukuman berat” atas penghinaan yang dilakukan kerana gagal menghormati sensitiviti umat Islam.
Beliau mendakwa bahawa kelakuan tidak sopan itu semakin kerap sejak kebelakangan ini, terutama selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum tahun lalu dan membentuk kerajaan persekutuan.
“Apa yang peliknya, mereka seolah-olah menjadi berani dan tidak takut dengan undang-undang, PAS beri amaran kepada mereka agar tidak merosakkan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Nasrudin juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, dan pihak polis mengambil tindakan susulan laporan yang dibuat terhadap pengguna Facebook tersebut.
“Di mana menteri hal ehwal agama? Dia dilihat sangat agresif ketika membicarakan isu LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender), LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) dan lain-lain.
“Kenapa tidak ada tindakan segera terhadap penghinaan terhadap nabi?” kata pemimpin PAS tersebut.
Sejak PH mengambil alih Putrajaya, terdapat beberapa percubaan oleh PAS dan pengkritik PH yang lain mendakwa kerajaan persekutuan tidak mampu mempertahankan Islam dan melindungi hak dan keistimewaan orang Melayu.
Terdahulu hari ini, pemuda Amanah Perak juga turut melahirkan rasa kesal berhubung penghinaan yang disiarkan pengguna Facebook tersebut.
Ketua Pemuda Amanah Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata penghinaan itu menjejaskan keamanan dan keharmonian di negara ini, di mana semua rakyat harus menghormati “sensitiviti agama masing-masing dan menjauhkan diri daripada membuat konflik.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong itu juga turut menggesa pihak penguatkuasa undang-undang supaya mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami yakin kerajaan baru di Malaysia baharu tidak akan membiarkan tindakan melampau ini menjadi tersebar luas.
“Kami yakin perbuatan sombong ini tidak mewakili mana-mana parti dan kami percaya apa yang dilakukan oleh Foo Sing Wai dikecam oleh semua rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan keharmonian,” kata Hasnul dalam satu kenyataan. – 19 Februari, 2019.
Komen