Kementerian tiada hak tarik balik moratorium bauksit, kata aktivis


Bede Hong

Sahabat Alam Malaysia menyelar pengumuman Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar semalam bahawa morotarium tersebut akan ditarik balik bermula 1 April. – Gambar fail EPA, 19 Februari, 2019.

KEMENTERIAN Air, Tanah dan Sumber Asli tiada kuasa untuk menarik semula moratorium ke atas perlombongan bauksit, kata kumpulan aktivis alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengumumkan morotarium tersebut akan ditarik balik bermula 1 April. Ini mencetuskan kebimbangan aktiviti perlombongan menjadi tidak terkawal lantas merosakkan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan hari ini, SAM menyelar keputusan Jayakumar yang dibuat tanpa berbincang dengan aktivis alam sekitar dan alasan bahawa isu tersebut bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Jelas sekali, menteri mengabaikan isu alam sekitar dan tidak merujuk kepada komuniti tempatan atau kumpulan alam sekitar terlibat berhubung perkara itu, dan mengalah kepada industri bauksit,” kata SAM.

“Kami juga tertanya-tanya sama ada beliau sudah berunding dengan MESTECC (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), iaitu pihak berkuasa yang khusus mengenai isu alam sekitar.

Kumpulan itu berkata, walaupun Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bertanggungjawab mengawal selia industri perlombongan, bagaimanapun ia tiada kuasa untuk mengawal selia kesan aktiviti perlombongan kepada alam sekitar.

Kuasa ini di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, di bawah penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kata SAM.

Moratorium tersebut dilaksanakan pada 15 Januari, 2016, oleh menteri alam sekita ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berikutan kesan serius terhadap alam sekitar akibat perlombongan bauksit. Moratorium diperbaharui setiap tiga bulan. – 19 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen