INSIDEN letupan menggegarkan ibu negara Mesir, Kaherah, lewat Isnin selepas seorang lelaki meletupkan dirinya di belakang masjid Al-Azhar, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.
Sekurang-kurangnya dua pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan pengebom bunuh diri di kawasan Al Darb al-Ahmar, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Suspek meletupkan dirinya selepas dikepung polis. Menurut laporan Mesir Today, suspek dikenal pasti sebagai Al Hasan Abdullah, 37, yang tinggal di sebuah kawasan kejiranan.
Kementerian berkata suspek terbabit juga didakwa terlibat dalam serangan di Masjid Al-Istiqamah, Giza pada Jumaat.
Sementara itu Al-Azhar dalam satu kenyataan pada Selasa mengutuk serangan dan pegawai keselamatan yang bertugas berjaya menghalang kejadian yang lebih buruk berlaku.
Pejabat Mufti Mesir juga mengecam serangan itu, dengan menyatakan pertubuhan pengganas sengaja berniat menggugat keselamatan dan kestabilan negara. – Bernama, 19 Februari, 2019.
Komen