Dunia perlukan Huawei, kata pengasas


Pengasas Huawei, Ren Zhengfei berkata dunia memerlukan Huawei dan teknologinya yang lebih maju. – Gambar EPA, 19 Februari, 2019.

PENGASAS gergasi telekomunikasi China, Huawei menyelar usaha Amerika Syarikat (AS) yang mahu menyenaraihitamkan syarikat itu.

Ren Zhengfei berkata dunia memerlukan Huawei dan teknologinya yang “lebih maju”.

“Tidak mungkin AS boleh jatuhkan kami,” katanya dalam temu bual bersama BBC.

“Dunia perlukan kami kerana kami lebih maju.”

Ren,74, juga mengecam tindakan penahanan anak perempuannya, Ketua Pegawai Kewangan Huawei Meng Wanzhou pada Disember lalu, yang disifatkannya bermotifkan politik. Meng dituduh melanggar sekatan AS terhadap Iran.

Ren menjadi perhatian dalam beberapa bulan kebelakangan apabila syarikatnya menerima tekanan hebat berhubung kebimbangan mengenai pengintipan dan kempen yang dijalankan oleh AS bagi memujuk negara-negara lain supaya menyekat teknologi Huawei.

Kebimbangan itu mendorong Australia mengharamkan peralatan Huawei daripada rangkaian 5G negara itu pada tahun lepas.

Ini diikuti New Zealand yang menyekat syarikat telikomunikasi terbesarnya daripada menggunakan teknologi Huawei, manakala Republik Czech dilaporkan menggugurkan Huawei daripada tender membina portal cukai bernilai €20 juta (RM93 juta).

Pendakwa raya AS juga mendakwa Huawei kerana mencuri rahsia perdagangan, berkata Huawei menawarkan ganjaran kepada pekerjanya untuk mencuri teknologi dari pesaing.

Ren bagaimanapun tidak mengendahkan semua tekanan itu.

“Jika tiada sinar di Barat, di Timur masih ada,” katanya.

“Amerika bukanlah dunia.” – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen