MENTERI Pengangkutan Anthony Loke menafikan meminta pembantunya mempersoal tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana tidak menyiarkan laporan mengenai menteri itu pada liputan secara langsung pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina kelmarin.
Loke berkata setiausaha akhbarnya, Lim Swee Kuan bertindak atas kehendak sendiri.
“Ini bukan tentang melanggar kebebasan media. Itu acara langsung. Kita mahu tahu kenapa ada beberapa bahagian tertentu dari liputan langsung tidak disiarkan. Ini stesen tv kerajaan keseluruhan acara disiarkan langsung.
“No.1: Ia adalah stesen tv kerajaan dan acara itu sepatutnya secara langsung tetapi kenapa beberapa bahagian tertentu dikeluarkan? Saya rasa itulah inti pati isunya di sini. Saya tak mahu panjangkan isu ini,” kata Loke kepada pemberita, mempertahankan pembantunya, selepas majlis pecah tanah di Kuala Lumpur hari ini.
Lim berkata tindakan RTM itu merupakan satu sabotaj terhadap Loke.
“Tidak ada satu pun ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Hj Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan YB Anthony Loke Siew Fook disiarkan!
“Nak kata apa lagi kalau bukan sabotaj?” katanya di Facebook mengenai majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dihadiri oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Seremban, Ahad lalu.
“Saya tuntut penjelasan dari RTM. Kita akan buat aduan rasmi kepada YB Gobind Singh Deo, menteri komunikasi dan multimedia dengan segera.”
Loke berkata beliau akan menyerahkan perkara ini kepada Gobind untuk disiasat.
Gobind semalam berkata beliau sudah meminta RTM menyediakan laporan mengenai isu berkenaan. – 19 Februari, 2019.
Komen