Saksi ke-11 inkues kematian Adib tidak hadir


Timothy Achariam

DPP Hamdan Hamzah berkata saksi ke-11 yang merupakan seorang juruteknik di YTL tidak dapat menghadiri inkues kerana terpaksa menguruskan hal kecemasan keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.

SAKSI ke-11 dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak hadir di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Inkues itu sepatutnya bermula jam 10 pagi tetapi saksi ke-11, yang berada di kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor, ketika rusuhan berlaku pada November lalu, tidak dapat hadir.

DPP Hamdan Hamzah berkata, Nassaruddin Abdullah, 23, seorang juruteknik di YTL terpaksa menguruskan hal kecemasan keluarga.

“Saksi tidak dapat hadir kerana bapanya kemalangan pagi ini dan beliau terpaksa bersamanya,” katanya kepada mahkamah.

Nassaruddin berada di mahkamah koroner semalam untuk memberi keterangan tetapi mahkamah ditangguhkan hari ini selepas mendengar keterangan saksi kesembilan, R. Narresh dan ke-10, pembantu perubatan Hafizan Nordin.

Naresh bertanggungjawab membawa Adib ke hospital sementara Hafizan memandunya ke pusat perubatan pada 27 November.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember akibat kecederaan paru-paru semasa rusuhan.

Siasatan polis mendedahkan terdapat dua kemungkinan penyebab kematiannya: sama ada dipukul oleh orang ramai atau dilanggar oleh kenderaan bomba.

Inkues ini akan diteruskan pada pukul 2.30 petang dengan saksi ke-12. – 19 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen