KETUA pembaharuan pilihan raya Malaysia mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berlaku adil semasa pilihan raya umum 9 Mei dan berterus terang mengenainya, menyifatkan ia sebagai pilihan raya paling buruk pernah diadakan di negara ini.
Abdul Rashid Abdul Rahman yang berkhidmat dengan SPR dalam pelbagai kapasiti, berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah yang paling teruk pernah dilihatnya sepanjang 27 tahun berkhidmat, dari segi keputusan yang dibuat oleh SPR.
“Nampaknya SPR menerima arahan daripada kerajaan,” kata Rashid kepada The Malaysian Insight.
“Secara keseluruhan terdapat banyak ketidakpatuhan berlaku di lapangan tetapi saya fikir arahan yang diberikan adalah untuk pekerja melaksanakan pilihan raya bagi pihak parti yang berkuasa.
“Ini yang paling teruk dan saya berasa malu. Sudahlah undang-undang berat sebelah kepada parti berkuasa, ia diburukkan lagi dengan perkara itu dan tidak memberi peluang kepada pembangkang sama sekali. Ini bukan caranya mengadakan pilihan raya yang demokratik.”
Justeru, beliau berkata perlu ada peraturan bagi pesuruhjaya dan pelantikan mereka harus disaring untuk memastikan mereka tidak berat sebelah.
“Mereka perlu komited dalam pilihan raya yang bebas dan adil dalam semua perkara berkaitan. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka perlu ada tindakan tribunal atau tatatertib,” kata beliau yang kini berusia 76 tahun, yang juga anggota jawatankuasa pusat Bersatu.
Pembaharuan pilihan raya adalah salah satu pembaharuan utama yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan susulan kemenangan mengejutkan terhadap Barisan Nasional pada tahun lepas.
Pengkritik berkata pilihan raya pada 9 Mei dicemari beberapa kontroversi termasuk tindakan membuang imej Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dari papan iklan hinggalah kepada penangguhan pengumuman keputusan pilihan raya.

Perkara lain yang dikritik termasuk kejadian di Rantau apabila pegawai pilihan raya Amino Agos menghalang calon PKR, Dr Streram Sinnasamy memasuki pusat penamaan calon untuk memfailkan kertasnya, menyebabkan Mohamad Hasan daripada BN menang tanpa bertanding.
Selepas PRU14, pengerusi SPR ketika itu, Mohd Hashim Abdullah meletakkan jawatannya dua bulan lebih awal dan diikuti enam pesuruhjaya lain.
Walaupun Rashid tidak senang dengan cara pilihan raya diadakan pada Mei lepas, beliau juga berkata tiada gunanya mewujudkan tribunal.
Putrajaya membentuk tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku oleh pesuruhjaya SPR pada pilihan raya lepas.
“Apa yang mereka mahu lakukan? Hukum mereka?
“Tribunal itu perlu dibubarkan kerana tiada jalan bagi undang-undang untuk menghukum mereka sekiranya didapati bersalah. Bagaimana anda mahu menghukum mereka? Minta mereka memulangkan elaun? – 19 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen