SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu ada kuasa penguatkuasaan jika Malaysia mahu memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan telus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya Ab Rashid Ab Rahman.
“Kami mahu menubuhkan Badan Pengurusan Pilihan Raya yang kuat dan tidak dapat digugat serta tidak perlu setia pada sesiapa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ia akan dibina atas undang-undang yang akan membolehkan ia menyediakan pilihan raya bebas, adil dan telus supaya semua orang melihat pilihan raya itu setaraf.
“Kekuatan itu perlu diberikan pada mereka. Jika kita tidak buat begitu, tidak guna segala apa yang dilakukan sekarang.”
Rashid, yang pernah berkhidmat dalam SPR untuk pelbagai jawatan sejak 1979 berkata beliau mengendalikan enam pilihan raya dari 1979 hingga 2008, dan percaya perundangan cara terbaik memastikan pilihan raya adil.
Menggunakan insiden terbaru di mana Pakatan Harapan menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) the Cameron Highlands, melanggar kod etika calon, Rashid berkata beliau tidak risau dengan keadaan itu kerana ia bukan undang-undang.
“Semua tentang pilihan raya adalah undang-undang. Tidak ada adilnya.
“Ia tentang apa yang boleh dibenarkan dan apa yang tidak boleh dilakukan dengan undang-undang,” katanya.
Salah satu perubahan besar yang Rashid dan jawatankuasanya yang berusia lima bulan itu harapkan ialah memperbaharui sistem pilihan rasa semasa untuk memasukkan perwakilan berkadar.
Katanya, pemenang undi terbanyak (FPTP) yang digunakan sekarang boleh jadi tidak adil bagi parti lebih kecil.
“Dulu, PKR mengadu pada saya yang pembangkang ada lebih 50% undi pada 2013 tetapi kerajaan yang dibentuk oleh Barisan Nasional, hanya dapat 48%.
“Mereka mempersoalkan keadilan dalam sistem pilihan raya. Malangnya, ini sistem yang kita ada.”

Beliau berkata jawatankuasa itu mempertimbangkan satu sistem di mana sistem proporsional atau berkadar akan dilaksanakan untuk kerusi Parlimen, sementara FPTP dikekalkan untuk pilihan raya DUN.
Rashid berkata pengundi luar negara masih mahu wakil rakyat berkhidmat untuk mereka.
“Tetapi dalam sistem proporsional, mereka mungkin tidak tahu siapa ahli Parlimen mereka. Kami tidak pasti adakah ini yang rakyat mahu tetapi saya akan cadangkan idea ini.
“Ia cara lebih adil untuk mengagihkan kerusi. Contohnya, parti-parti akan masih dapat kawasan berdasarkan undi bila mereka tidak menang sebarang kerusi di bawah FPTP.
“Parti kecil pun dapat bertahan. Ahli Parlimen yang dilantik tidak akan ada kawasan dan akan hanya jadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata satu lagi perubahan yang sedang dipertimbangkan ialah pendaftaran pengundi automatik.
“Malaysia ada kira-kira 4.5 juta pengundi tidak berdaftar. Salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan adanya pendaftaran automatik. Ia akan memerlukan sedikit pengubahsuaian teknikal tetapi cara ini dapat mengendalikan masalah itu.”
Rashid berkata beliau berharap dapat menyelesaikan isu daftar pemilih, yang diketahui masih mempunyai nama pengundi yang sudah meninggal dunia, atau ada banyak pengundi berdaftar di bawah alamat sama.
“Saya mahu mencadangkan lebih kuasa diberikan kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih. Pada masa ini, undang-undang lemah dan tidak ada ruang untuk SPR membersihkan daftar itu,” katanya.
Satu lagi idea ditimbulkan pada perbincangan pertama dengan NGO terpilih baru-baru ini ialah tarikh pembubaran yang tetap, di mana ia tidak lagi akan membenarkan kerajaan penyandang berkuasa penuh dalam menentukan bila pilihan raya akan diadakan.
Ini akan memudahkan SPR, pengundi dan pembangkang untuk merancang pilihan raya akan datang.
Katanya, perubahan pilihan raya penting jika Malaysia mahukan pilihan raya yang bebas, adil dan telus.
“Ia penting kerana kita ketinggalan dan saya rasa malu. Kita bercakap tentang pilihan raya demokrasi dalam negara ini tetapi kita sendiri tidak demokratik.
“Tetapi bila kita lihat undang-undang kita, ia hanya sandiwara,” katanya.
Beliau berkata di sebalik keputusan pilihan raya umum lalu, sistem itu kekal cacat tetapi kini masanya untuk membaiki kekurangan itu.
“Kita sudah pun menyediakan pilihan raya yang bebas. Adil? Saya tidak pasti. Tetapi ini peluang kini untuk melakukan apa yang betul. – 19 Februari, 2019.
Komen