KEBAKARAN di kawasan kediaman setinggan di selatan Bangladesh pada Ahad menyebabkan sembilan terbunuh dan memusnahkan ratusan rumah-rumah kecil dan buruk di situ, kata polis.
Api bermula dari pelabuhan di bandar Chittagong kira-kira 3.30 pagi dan dengan cepat merebak ke kawasan kediaman yang dibuat daripada buluh, tin dan kain, kata ketua polis tempatan Pranab Chowdhury.
“Sekurang-kurangnya 470 pondok musnah dalam kebakaran itu. Setakat ini sembilan maut, termasuk keluarga empat beranak,” kata pegawai bomba Hefazatul Islam.
Kebakaran sering berlaku di kawasan setinggan di Bangladesh, di mana berjuta rakyat tinggal bersesak-sesak dalam keadaan daif.
Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini mendakwa sebahagian daripada insiden kebakaran di kawasan melarat sengaja berlaku dengan sengaja sebagai tindakan sabotaj oleh pemaju yang mahukan tapak berkenaan bagi membina bangunan tinggi.
“Kami lihat api digunakan sebagai senjata untuk menghalau orang miskin dan setinggan daripada kawasan hartanah kerajaan atau persendirian,” kata aktivis Nur Khan Liton. – AFP, 19 Februari, 2019.
Komen