DUA pemimpin pembangkang di Nicaragua dikenakan hukuman penjara lebih 200 tahun pada Isnin kerana menyertai protes ganas tahun lepas terhadap Presiden Daniel Ortega yang menyebabkan 325 orang terkorban, kata peguam mereka.
Medardo Mairena dijatuhi hukuman penjara selama 216 tahun kerana “keganasan” dan enam kesalahan lain berkaitan penyertaannya dalam protes yang menyebabkan kematian empat pegawai polis dan seorang awam, kata peguam Julio Montenegro daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Suruhanjaya Tetap untuk Hak Asasi Manusia.
Seorang lagi pemimpin, Pedro Mena dikenakan hukuman selama 210 tahun kerana keganasan dan kesalahan lain.
Montenegro menggambarkan hukuman itu sebagai “belum pernah terjadi sebelumnya” dan “terlalu berlebihan.”
Bagaimanapun, kedua-duanya hanya akan akan menjalani hukuman selama 30 tahun di penjara, kerana itu adalah tempoh maksimum dibenarkan dalam undang-undang Nicaragua.
Mairena adalah salah seorang pemimpin Perikatan Sivik untuk Keadilan dan Demokrasi, sebuah kumpulan pembangkang yang ditubuhkan pada Mei untuk mencari penyelesaian kepada krisis politik negara melalui dialog dengan kerajaan.
Protes bermula pada April dan meningkat dengan pantas ketika mereka berdepan dengan tindakan keras kerajaan.
Rundingan gagal pada Jun apabila Ortega menolak tuntutan utama pembangkang untuk melepaskan jawatan dan bagi mengadakan pilihan raya presiden.
Bantahan berlanjutan sehingga Oktober dan ketika semakin ramai yang maut, lebih 750 orang ditangkap dan dituduh melakukan keganasan.
Pihak pembangkang Nicaragua menuduh bekas pemimpin gerila Ortega yang berkuasa sejak 2007, mewujudkan pemerintahan diktator yang korup bersama isterinya dan naib presiden Rosario Murillo. – AFP, 19 Februari, 2019.
Komen