Suspek kes samun dalam lif ditahan 


Alfian Z.M. Tahir

Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) sepanjang 57 saat memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif itu turut tular di laman sosial.– Gambar Youtube, 18 Februari, 2019

POLIS menahan seorang lelaki berusia 26 tahun disyaki terlibat dalam kejadian samun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lepas.

Suspek ditahan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 Cheras kira-kira pukul 8.20 malam ini.  

“Kita berjaya menahan lelaki berusia 26 tahun di Taman Cheras di Cheras kira-kira pukul 8.20 malam.”

“Kami percaya lelaki ini merupakan suspek utama dalam kejadian samun di stesen MRT Cheras baru-baru ini. 

“Polis dari unit D9 Cheras menaham lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim. 

Difahamkan suspek akan direman esok. 

Dalam kejadian pukul 6.45 pagi Khamis lalu, wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali oleh suspek di dalam lif. 

Lelaki itu mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata mangsa mengalami kecederaan dengan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.

Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) sepanjang 57 saat memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif itu turut tular di laman sosial. – 18 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen