13 terbunuh dalam serangan bom di Syria 


Mangsa serangan bom di Idlib menerima rawatan awal pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital. – Gambar EPA, 18 Februari, 2019

DUA serangan bom menyebabkan 13 orang terbunuh termasuk 10 orang awam di bandar Idlib pada Isnin, menurut pemerhati.

Letupan pertama berpunca daripada bom yang dopasang di bawah sebuah kereta di bandar utama wilayah Idlib, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Selepas ambulans tiba di tempat kejadian, satu lagi letupan berlaku pada sebuah motosikal, menurut pemerhati itu.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang lagi cedera.

Idlib yang merupakan antara kawasan yang masih di luar kawalan rejim Presiden Bashar al-Assad, dikuasai oleh sekutu yang diterajui bekas kumpulan Al-Qaeda Syria.

Hayat Tahrir al-Sham menguasai pentadbiran di seluruh wilayah itu bulan lalu.

Kumpulan militan IS turut mempunyai sebahagian kecil rangkaiannya di kawasan itu.

Pejabat “kerajaan keselamatan”, iaitu sebuah badan pentadbiran yang ditubuhkan oleh HTS, terletak di lokasi yang menjadi sasaran serangan pada Isnin. – AFP, 18 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen