KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia akan menetapkan piawaian minimum kepada syarikat telco bagi mewujudkan sambungan internet berkualiti.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarahkan untuk menetapkan kriteria yang akan diumumkan kemudian.
“Saya sudah maklumkan kepada SKMM berhubung perkara ini. Saya akan maklumkan dengan jelas kepada syarikat telco yang kita akan tetapkan piawai minimum, dan kita harap mereka akan patuhi.
“Kami akan umumkan apabila laporan berhubung kriteria itu lengkap. Kami akan umumkan dan maklumkan semua syarikat telco sewajarnya.
“Kami serius. Kami mahu memastikan infrastruktur yang bertaraf dunia,” katanya ketika melancarkan projek perintis jalur lebar berkelajuan tinggi Terragraph di George Town hari ini.
Gobind berkata, kerajaan akan meneliti aduan yang dibuat berhubung perkhidmatan telco yang diterima sejak tujuh bulan lalu susulan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).
“Kami menyedari keperluan untuk memulakan piawai minimum untuk aspek perkhidmatan berbeza yang disediakan.
“Salah satu daripadanya adalah kelajuan internet. Apakah piawai yang munasabah untuk rakyat Malaysia berhubung kelajuan internet?
“Sebelum ini, saya sudah nyatakan kita perlu lihat pada sekurang-kurangnya 30 megabit. Saya rasa ia munasabah, namun kita belum nyatakan secara rasmi.
“Pada penghujung hari, jika kita akan mempunyai seluruh negara bergantung pada infrastruktur untuk ekonomi, ini adalah piawaian yang perlu kita tetapkan dan pastikan kita tetap.” – 18 Februari, 2019
Berita penuh di sini.
Komen