MOHAMAD Fuzi Harun dilantik sebagai ketua polis negara (KPN) baharu, menggantikan Khalid Abu Bakar, pagi ini.
Fuzi, yang merupakan pengarah Cawangan Khas, beberapa kali disebut sebagai calon pilihan untuk menggantikan Khalid, selain Timbalan KPN Noor Rashid Ibrahim.
Majlis menandatangani diadakan di pusat latihan polis di Kuala Lumpur.
Khalid dilantik sebagai KPN ke-10, menggantikan Ismail Omar pada 17 Mei 2013.
Fuzi mempunyai tempoh dua tahun lagi sebelum mencapai umur persaraan 60 tahun berbanding Noor Rashid yang hanya mempunyai tujuh bulan.
Sebelum pelantikan barunya ini, Fuzi, 58, adalah mengambil alih jawatan pengarah Cawangan Khas pada tahun 2015 menggantikan ketuanya Akhil Bulat.
Fuzi pemegang ijazah sarjana daripada Universiti Malaya dan sarjana muda daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang antropologi dan sosiologi.
Pada tahun 2014, beliau memangku jawatan timbalan KPN beberapa bulan selepas persaraan Mohd Bakri Zinin sebelum dilantik sebagai pengarah pengurusan Polis Diraja Malaysia dan kemudian mengambil alih sebagai pengarah Cawangan Khas daripada Akhil.
Fuzi menggantikan Khalid yang bersara hari ini selepas 40 tahun berkhidmat.
Khalid memulakan kerjayanya bersama Polis Diraja Malaysia pada 5 Disember 1976 pada usia 19 tahun ketika mendaftar sebagai Inspektor di Pusat Latihan Polis Malaysia di Kuala Lumpur.
Sebagai KPN, Khalid dikenali kerana kerap menggunakan laman media sosialnya, Twitter untuk berkomunikasi termasuk mengeluarkan amaran tidak formal kepada orang awam.
Ini menimbulkan kritikan daripada aktivis hak sivil yang menuduh beliau menggunakan Twitter untuk menghalang kebebasan bersuara.
Noor Rashid kekal sebagai timbalan KPN tetapi menerima kenaikan pangkat dalam gred yang memberikannya gaji dan faedah lebih tinggi.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Mokhtar Shariff dilantik sebagai pengarah Cawangan Khas baharu.
Mokhtar adalah ketua polis Johor sebelum dilantik sebagai pengarah Narkotik Bukit Aman.
Dalam rombakan terbaru di Bukit Aman, Mokhtar ditugaskan mengetuai jabatan CID daripada rakannya Mohamad Salleh yang menggantikan Mokhtar sebagai pengarah CID Narkotik.
Turut hadir pada majlis penyerahan tugas itu ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri bersama dua timbalannya, Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat. – 4 September, 2017.
Komen