25 pelajar Kanada yang terperangkap di Haiti berlepas pulang


Sejak 7 Februari lalu sekurang-kurangnya tujuh maut apabila Haiti terjebak dalam krisis politik menyaksikan kehidupan harian mereka lumpuh akibat tunjuk perasaan dan sekatan di bandar besar. – Gambar AFP, 18 Februari, 2019.

SEKUMPULAN 25 pelajar sekolah dari Quebec, Kanada dan tiga pengiring mereka akhirnya berjaya meninggalkan Haiti pada Ahad lalu selepas terperangkap susulan insiden tunjuk perasaan antikerajaan yang ganas.

“Kami kini berada atas pesawat dalam perjalanan pulang ke Montreal,” seorang daripada pengiring terbabit mengesahkan perkara itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengusaha pelancongan Kanada, Transat turut mengesahkan kumpulan pelajar itu menaiki penerbangan TS663 yang berlepas pada jam 3.59 petang Port-au-Prince.

Selain kumpulan pelajar itu, kakitangan kedutaan Kanada yang ditutup buat sementara turut berlepas pulang dengan menaiki pesawat sama.

Sehari sebelum itu, sekumpulan 131 pelancong Kanada dibawa keluar dari sebuah pusat peranginan pantai di Haiti dengan helikopter selepas mereka terperangkap selama seminggu susulan pergolakan yang berlaku di negara tersebut.

Pelancong terbabit dibawa secara beransur-ansur ke lapangan terbang antarabangsa Port-au-Prince di mana mereka menaiki penerbangan ke Kanada, menurut Transat.

Pada Jumaat lalu, Kanada secara rasmi memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan ke Haiti yang dikeluarkan selepas penutupan sementara kedutaan negara itu di Port-au-Prince.

Sejak 7 Februari lalu sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila Haiti terjebak dalam krisis politik yang menyaksikan kehidupan harian mereka lumpuh akibat tunjuk perasaan dan sekatan di bandar besar.

Para penunjuk perasaan yang marah dengan kenaikan inflasi dan dakwaan berlaku penyelewengan dalam subsidi minyak dari Venezuela mendesak Presiden Jovenel Moise meletak jawatan. – Bernama, 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen