Mahkamah Persekutuan perintah petisyen pilihan raya Jasin dibicarakan semula


Bede Hong

Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan perbicaraan semula bagi petisyen pilihan raya oleh calon PHKhairuddin Abu Hassan yang membantah keputusan kerusi Parlimen Jasin dimenangi BN pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2019.

MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengarahkan perbicaraan semula bagi petisyen pilihan raya oleh calon Pakatan Harapan (PH) Khairuddin Abu Hassan yang membantah keputusan kerusi Parlimen Jasin, Melaka yang dimenangi oleh Umno pada PRU14.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Richard Malanjum sebulat suara bersetuju bahawa Khairuddin yang memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, ada asas dalam rayuannya.

Mahkamah juga membatalkan keputusan mahkamah pilihan raya Kuala Lumpur bahawa ia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Oktober lalu, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali berkata petisyen Khairuddin sepatutnya difailkan di mahkamah pilihan raya di Melaka dan memerintahkan Ahmad Hamzah daripada Barisan Nasional (BN) kekal di kerusi Jasin.

Malanjum membenarkan permohonan peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Khairuddin untuk perbicaraan semula kes itu didengar di hadapan hakim lain.

Khairuddin diberikan kos RM20,000.

Hakim lain dalam panel itu ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Hakim Mahkamah Persekutuan Alizatul Khair Othman Said, Rohana Yusof dan Tengku Maimun Tuan Mat.

Pada 9 Mei lalu, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan 219 majoriti undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pada 14 Jun mengikut Seksyen 34 (C) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu memfailkan petisyen itu bagi mendapatkan deklarasi bahaa keputusan PRU14 untuk kerusi Jasin terbatal, mendakwa ahli politik BN dipilih secara tidak sah dan memohon pilihan raya baharu diadakan. – 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen