KAPAL selam buatan sendiri terkini Iran, yang dilengkapi peluru berpandu krus, menyertai armada tentera laut negara itu pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
“Fateh (Penakluk) adalah kapal selam separa berat pertama Iran dengan ciri unik dan menonjol serta dilengkapi teknologi canggih,” lapor IRNA memetik kenyataan Menteri Pertahanan Iran Amir Hatami.
“Kapal selam ini menyertai armada tentera laut Iran selepas berjaya melepasi beberapa ujian akhir,” kata Hatami pada majlis pelancaran kapal itu yang berlangsung di selatan Bandar Abbas.
Penghasilan kapal selam itu membuktikan kecekapan Iran dalam sektor pertahanan, kata Hatami sambil menambah industri pertahanan adalah bahagian penting dalam kemerdekaan negara tersebut selain “menjamin keselamatan dan kestabilannya”.
Fateh boleh beroperasi lebih 200m di bawah permukaan laut selama hampir lima minggu.
Ia mampu membawa dan melepaskan tembakan peluru berpandu krus daripada kedudukan tenggelam, lapor Press TV.
Kapal selam seberat 527 tan itu turut dilengkapi torpedo dan periuk api laut, sistem peluru berpandu terarah selain sistem radar sonik yang maju serta boleh mengenal pasti kapal musuh.
Kapal selam baharu Iran itu juga dilengkapi pelbagai teknologi terkemuka termasuk sistem sonar, pendorong elektrik, sistem peperangan elektronik dan sistem komunikasi bersepadu yang selamat. – Bernama, 18 Februari, 2019.
Komen