PIHAK keselamatan Libya semalam berjaya membebaskan 14 pekerja Tunisia yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata sejak Khamis lepas di bandar Zawiya, kira-kira 45km dari barat ibu kota Tripoli.
“Direktorat keselamatan bandar Zawiya berjaya membebaskan pekerja Tunisia itu. Komunikasi sedang dilakukan dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi memastikan mereka selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,” kata direktorat itu kepada agensi berita China Xinhua.
Direktorat itu mengesahkan pekerja terbabit kini berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan menyiarkan imej mereka di laman Facebook.
Sementara itu, Kementerian Luar Tunisia turut mengesahkan pembebasan pekerja terbabit yang telah diculik dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Libya atas usaha penyelamatan yang dilakukannya.
Pekerja Tunisia itu diculik pada petang Khamis dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui, menurut direktorat keselamatan Zawiya.
Media Tunisia melaporkan kumpulan tidak dikenali itu menuntut pembebasan seorang rakyat Libya yang ditahan di Tunisia sebagai pertukaran bagi pekerja terbabit. – Bernama, 18 Februari, 2019.
Komen