PIHAK Berkuasa Palestin (PA) mengutuk tindakan Kabinet keselamatan Israel meluluskan pemotongan lebih AS$138 juta daripada hasil cukainya yang dibayar oleh PA kepada rakyat Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik jurucakap presiden PA.
“Potongan dari dana pembersihan Palestin ditolak sepenuhnya dan tindakan ini dianggap sebagai merompak wang rakyat Palestin,” menurut Nabil Abu Rudeineh dalam kenyataan akhbar rasmi.
“Presiden Mahmoud Abbas sentiasa menegaskan bahawa kami tidak akan menerima sebarang tindakan yang boleh mengancam hidup wira kami, banduan serta keluarga mereka yang mati syahid serta mangsa yang cedera,” kata Abu Rudeineh.
“Ini adalah keputusan sebelah pihak dan dibuat sewenang-wenangnya yang menjejaskan persetujuan yang telah dicapai.”
Di bawah perjanjian interim yang ditandatangani di Paris pada 1996, Israel mengutip cukai bagi pihak PA, yang menyaksikan jumlah kutipan bulanan semasa ialah sebanyak AS$222 juta.
Sejak rundingan kedua-dua pihak menemui jalan buntu pada 2014, Israel menahan wang itu sebagai langkah membantah atau bagi mengenakan tekanan.
Sementara itu, Qadri Abu Bakker, pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Bekas Tahanan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin, berkata keputusan Israel telah diluluskan “dengan sokongan komprehensif kerajaan Amerika Syarikat.”
“Israel kini berusaha melemahkan isu tahanan rakyat Palestin serta legitimasi perjuangan kebangsaan mereka dan membuktikan mereka pengganas,” kata Abu Bakkar.
“PA akan terus membuat bayaran kepada banduan terbabit,” katanya. – Bernama, 18 Februari, 2019.
Komen