Yaman capai kata sepakat pengunduran tentera dari Hudaidah


Puak bertelagah di Yaman mencapai kata sepakat berkaitan fasa pertama pengunduran tentera dari bandar pelabuhan Hudaidah di Laut Merah. – Gambar fail AFP, 18 Februari, 2019.

PUAK bertelagah di Yaman mencapai kata sepakat berkaitan fasa pertama pengunduran tentera dari bandar pelabuhan Hudaidah di Laut Merah, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad.

Kenyataan pejabat akhbar Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyebut wakil kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi telah bertemu dalam rundingan yang dipelopori badan dunia itu di Hudaidah pada Sabtu dan Ahad sebelum mencapai kata sepakat berhubung pengunduran tersebut.

“Selepas perbincangan panjang lebar tetapi membina yang dipermudah oleh pengerusi RCC (Suruhanjaya Penyelarasan Penempatan Semula), kedua-dua pihak mencapai persetujuan berkaitan fasa pertama penempatan semula tentera.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju, secara dasar berkaitan fasa kedua penempatan semula tentera sementara menunggu rundingan tambahan dalam kalangan kepimpinan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Pusingan rundingan seterusnya dalam kerangka RCC dijangka berlangsung dalam tempoh seminggu yang bertujuan memuktamadkan persetujuan bagi fasa kedua.

Rundingan RCC itu bertujuan melaksanakan persetujuan berkaitan pengunduran tentera dari bandar Hudaidah serta pelabuhan-pelabuhan Hudaidah, Salif dan Ras Issa seperti yang termaktub dalam Perjanjian Stockholm pada Disember 2018. – Bernama, 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen