Polis tukar hala tuju siasatan serangan pelakon siri Empire


Pelakon kulit hitam dan gay Jussie Smollett mendakwa diserang dua lelaki pada 29 Januari, dipukul dan dihina. – Gambar AFP, 18 Februari, 2019.

SIASATAN terhadap satu dakwaan serangan terbuka terhadap pelakon kulit hitam yang gay “beralih arah” dan polis kini akan melakukan temu bual susulan dengan pelakon “Empire” itu, kata jurucakap polis.

Jussie Smollett, 36, membuat laporan polis pada 29 Januari mendakwa dua lelaki memukulnya, menjerit-jerit hinaan berunsur perkauman dan homoseksual, menyiram cecair peluntur ke atasnya dan mengikat tali di lehernya ketika beliau berjalan di bandar..

Pengumuman perubahan haluan siasatan itu dua hari selepas polis berkata dua “suspek” dalam serangan itu dibebaskan tanpa didakwa dan media AS melaporkan serangan itu mungkin dirancang dan hanya lakonan.

“Maklumat diperoleh daripada beberapa individu yang disoal siasat polis dalam kes Empire menyebabkan hala tuju siasatan itu berubah,” kata jurucakap polis Chicago Anthony Guglielmi dalam satu kenyataan.

“Kami menghubungi peguam pelakon Empire itu untuk temu bual susulan,” katanya.

Beberapa media AS melaporkan dua lelaki adik-beradik itu ditahan di lapangan terbang O’Hare Chicago ketika hendak berlepas ke Nigeria.

Salah seorang daripada lelaki itu dilaporkan bekerja dengan “Empire”, drama siri televisyen tentang idola hip hop dan keluarganya yang mengendalikan syarikat muzik bernilai bilion dolar.

Dalam satu temu bual penuh emosi dengan rancangan “Good Morning America” siaran ABC pada Khamis, Smollett memberikan perincian tentang serangan itu.

Smollett berkata seorang lelaki bertopeng menjerit “Empire” ketika pelakon itu berjalan di satu persimpangan selepas berhenti makan lewat malam di sebuah restoran sandwic.

Selepas tidak mengendahkan lelaki itu, Smollett berkata penyerang itu menjerit kata-kata perkauman dan menggunakan akronim slogan kempen Presiden Donald Trump “MAGA” iaitu “Jadikan Amerika Hebat Semula”.

Laporan awal tentang serangan itu mengejutkan industri hiburan dan mencetuskan sokongan daripada kumpulan perundangan dan ahli politik kanan, termasuk Kamala Harris, Cory Booker dan Kirsten Gillibrand. – AFP, 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen