Remaja UK sertai IS lahirkan bayi di kem pelarian Syria


Shamima Begum dalam satu gambar yang ditunjukkan kakaknya kepada media ketika remaja itu dan dua rakannya meninggalkan London untuk menyertai IS di Syria pada 2015. – Gambar AFP, 18 Februari, 2019.

SEORANG remaja yang menyertai kumpulan Islamic State (IS) di Syria tetapi kini mahu kembali ke Britain, melahirkan bayi pada Ahad di sebuah kem pelarian, ketika kerajaan Eropah buntu apa yang perlu dilakukan terhadap militan yang kembali ke tanah air.

Shamima Begum yang mencetuskan kontroversi selepas dia dan dua rakannya meninggalkan London untuk menyertai jaringan pengganas itu pada 2015 ketika baru berusia 15 tahun, memberitahu Sky News dia melahirkan seorang bayi lelaki.

“Saya baru melahirkan, jadi saya sangat penat,” katanya yang kini berusia 19 tahun, dan memperbaharui rayuannya untuk dibenarkan balik ke Britain bersama bayinya.

“Saya takut dia mungkin mati di kem ini. Saya rasa orang ramai patut simpati kepada saya, atas segala-galanya yang saya lalui,” katanya.

“Saya tidak tahu begini nasib saya ketika keluar dari London. Saya hanya berharap demi saya dan anak saya, mereka akan benarkan saya balik.”

Pada masa ini negara-negara Eropah sedang bergelut memikirkan cara mengendalikan anggota IS yang hendak kembali susulan perpecahan “khalifah” IS di timur Syria.

Presiden AS Donald Trump sekali lagi mendesak mereka mengambil balik ratusan pejuang IS yang ditangkap.

Menerusi Twitter, Trump mendesak Britain dan sekutu lain untuk mengambil semula lebih 800 pejuang IS yang ditahan di Syria dan bicarakan mereka.

Begum sebelum ini pernah melahirkan dua anak selepas berkahwin di Syria. Kedua-dua anaknya itu meninggal dunia.

Ahli politik termasuk Menteri Dalam Negeri Sajid Javid berikrar untuk menghalangnya pulang, kerana dia tidak cukup insaf atas kesalahannya menyertai kumpulan pengganas.

Begum memberitahu Sky News dia tahu taktik ganas IS termasuk memancung kepala, tetapi tidak menyesali tindakannya ke Syria.

“Saya tahu semua itu dan pada awalnya saya ok. Mereka jaga anda, anda hidup di bawah undang-undang Islam.

“Saya tidak menyesalinya kerana ia mengubah saya sebagai seorang manusia, buat saya jadi lebih kuat,” kata Begum.

Remaja itu yang berkata tidak berhubung dengan pegawai rasmi Britain, menambah kerajaan tidak patut menghalangnya pulang kerana dia hanya “suri rumah” ketika di Syria. – AFP, 18 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen