India tamatkan perlindungan polis terhadap pemimpin pemisah


Serangan pengebom bunuh diri membunuh 41 orang anggota tentera di wilayah bergolak di negara itu. – Gambar EPA, 17 Februari, 2019

PIHAK berkuasa India menarik balik perlindungan polis kepada lima pemimpin puak pemisah Kashmir pada Ahad selepas serangan pengebom bunuh diri membunuh 41 orang anggota tentera di wilayah bergolak di negara itu.

New Delhi berazam mahu membalas serangan itu yang mana sebuah van dipenuhi bahan letupan meletup ketika konvoi membawa 2,500 anggota tentera melintasi sempadan yang ditadbir kerajaan India pada Khamis.

Pihak berkuasa negara itu menyifatkan serangan berkenaan sebagai yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Pegawai kerajaan India menyatakan perlindungan polis telah ditarik balik terhadap Mirwaiz Umar Farooq dan empat pemimpin lain.

“Kami memutuskan untuk menarik balik perlindungan keselamatan terhadap pemimpin puak pemisah berikutan serangan ke atas anggota pasukan keselamatan, “kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri India, A Bharat Bhushan Babu kepada AFP.

Babu berkata keputusan ditu dibuat berikutan gesaan kerajaan untuk menyemak semula perlindungan kerajaan terhadap mereka yang “menerima wang daripada Pakistan”. – AFP, 17 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen