HUBUNGAN antara Barisan Nasional (BN) dan PAS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih masih baik dan mungkin lebih baik daripada apa yang berlaku ketika PRK Cameron Highlands bulan lepas, kata bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini yang parti itu hanya akan menyokong BN pada skala kecil di PRK Semenyih 2 Mac ini.
“Saya tidak tahu mengenai itu tetapi dari apa yang saya lihat hari ini, hubungan antara Umno dan PAS di sini benar-benar baik.
“Seperti dikatakan Shahidan Kassim sebelum ini, mungkin lebih baik daripada apa yang berlaku di Cameron Highlands,” katanya semasa mengadakan tinjauan dengan calon BN untuk PRK itu di pasar malam di Taman Jenaris Kajang hari ini.
Turut hadir beberapa ahli PAS Selangor dan Ketua Pemilihan PAS Selangor, Roslan Shahir.
Takiyuddin berkata, penjelasan itu dibuat selepas presiden parti Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu kepada pemimpin PAS pada mesyuarat hari ini.
Sokongan PAS untuk Umno dan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih meragukan apabila Dr Mahathir berkata Hadi memberitahunya secara bertulis PAS tidak akan menyokong Umno pada PRK berkenaan.
Hishammuddin berkata, beliau tidak menyedari apa yang berlaku tetapi yang penting ialah sentimen dalam kalangan anggota akar umbi.
“Saya baru sahaja pergi ke kawasan bahagian PAS baru-baru ini dan bertemu dengan naib presiden parti dan ahli yang lain. Saya dapat melihat kerjasama itu masih baik.
“Jadi apa yang penting ialah apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya.
Terdahulu hari ini Hishammuddin bertemu dengan pemimpin Pas dari Taman Kantan Permai dan Desa Sri Jenaris bersama Zakaria bagi menjalankan kempen sempena PRK Semenyih. – 17 Februari, 2019.
Komen