PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe mencalonkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan pada musim luruh lalu selepas diminta berbuat demikian oleh Washington, lapor akhbar Jepun hari ini.
Washington menyuarakan kemungkinan Tokyo mencalonkan Trump untuk hadiah itu selepas sidang kemuncaknya dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un pada Jun tahun lalu, sumber kerajaan Jepun yang tidak dinamakan memberitahu Asahi Shimbun.
Laporan itu dibuat selepas dakwaan Trump pada Jumaat bahawa Shinzo Abe mencalonkannya untuk hadiah berkenaan.
Trump berkata, Abe menghantar kepadanya salinan lima halaman surat pencalonan yang dihantar kepada jawatankuasa Hadiah Nobel Keamanan yang mana pemimpin Jepun itu memuji usahanya mengurangkan ketegangan dengan Pyongyang.
“Beliau berkata, ‘saya mencalonkan kamu dengan penuh penghormatan bagi pihak Jepun. Saya meminta mereka berikan Hadiah Nobel Keamanan kepada kamu.’ Kata Trump kepada pemberita di White House.
“Ramai lagi yang menyatakan perkara sama. Saya mungkin tidak faham. Tak mengapa.”
Sementara itu, pihak Jepun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas daripada AFP mengenai dakwaan laporan akhbar berkenaan. – AFP, 17 Februari, 2019
Komen