Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya menjadi warga Malaysia.
OW Yong Kean Guan menghabiskan 30 tahun dalam sistem pendidikan Malaysia, sebahagian besarnya sebagai nazir sekolah, dan melihat secukupnya bagaimana ia berfungsi yang akhirnya membawa kepada keputusan beliau menghantar anak-anaknya ke sekolah swasta.
Anak kelahiran Pulau Pinang dari George Town ini memperoleh pendidikan rendah di Francis Light School dan menengah di Sekolah Menengah George Town.
Menamatkan pengajian daripada Universiti Sains Malaysia dengan Bacelor Sains dalam Pendidikan serta dua major dalam Matematik dan Biologi, beliau kemudian berjaya memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Jepun pada tahun 1989.
“Saya mesti mengatakan ini adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya. Saya berada di Jepun selama tiga setengah tahun di bawah biasiswa Monbukagakusho, yang merupakan biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Jepun.
“Saya bernasib baik kerana tidak mudah bagi bukan Melayu mendapat biasiswa,” katanya.
Ow Yong kemudiannya menjadi nazir sekolah selepas menjadi pensyarah di pelbagai organisasi seperti Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Latihan Kementerian Pendidikan, dan sebagai pelatih di Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara Pusat Wilayah untuk Pendidikan Sains dan Matematik (SEAMEO RECSAM).
“Saya memutuskan untuk keluar dan melihat bagaimana pencapaian pelatih saya di sekolah, jadi saya menyertai Nazir Sekolah Malaysia.
“Peranan saya adalah untuk memantau mereka, menulis laporan dan memberi nasihat kepada mereka mengenai bidang yang boleh diperbaiki, seperti melakukan jaminan kualiti untuk pengurusan guru,” katanya.
Sebagai nazir sekolah persekutuan, Ow Yong memulakan tugasnya untuk kali pertama di Pulau Pinang.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi ketua penolong pengarah dan berpusat di ibu pejabat di Putrajaya selama tiga tahun sebelum kembali ke Pulau Pinang sebagai ketua nazir sekolah negeri selama tiga tahun lagi serta turut bertugas di Perak dalam tempoh ini.
“Jadi, hampir 10 tahun yang saya berkhidmat sebagai nazir sekolah persekutuan yang cuba mendukung jaminan kualiti sekolah Malaysia dari Perlis ke Sabah.
“Saya telah melihat banyak perkara yang berlaku semasa menjadi nazir – keseluruhan spektrum daripada yang terbaik kepada paling teruk berkaitan dengan prestasi guru besar dan guru, serta tingkah laku murid.
“Kami menulis laporan berdasarkan cara kami dilatih, untuk melaporkan apa yang kami lihat.
“Sekolah berkenaan mendapat laporan nazir selain pejabat pendidikan daerah dan negeri berkaitan. Intipati daripada pihak nazir sekolah turut sampai kepada menteri pendidikan bagi tindakan lanjut jika difikirkan patut,” kata Ow Yong.
Berbanding nazir sekolah di United Kingdom (UK) – asal usul sistem kita bermula – terdapat beberapa perbezaan yang signifikan, katanya.
Laporan nazir sekolah di UK dimuat naik dalam talian untuk diteliti semua pihak. Pihak nazir benar-benar bebas, bertindak tanpa rasa takut atau menyebelahi mana-mana pihak, kerana pelantikan mereka dibuat oleh Ratu England. Ketua nazir melaporkannya kepada Parlimen UK.
“Berbanding sistem British, laporan pemeriksaan sekolah kita secara umumnya sulit dan persendirian di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Malangnya, sebagai nazir sekolah, kita telah melihat perkara-perkara yang tidak betul tetapi belum diperbetulkan.”
Ow Yong meninggalkan perkhidmatan kerajaan selepas 33 tahun untuk menyertai sekolah swasta sebagai kaunselor selama tiga tahun, sebelum bersara.
Kini menetap di Kuala Lumpur, beliau berkata pengalamannya di sektor kerajaan mempunyai pengaruh terhadap pemilihan pendidikan bagi dua anak lelakinya yang berusia 15 dan 17 tahun.
“Saya merancang persaraan saya di KL kerana saya tahu anak-anak saya mungkin akan menetap di sini untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja.
“Saya membawa mereka keluar dari sekolah kerajaan kerana saya tidak dapat menerima lagi sekolah kerajaan dan memutuskan menyekolahkan mereka di sekolah swasta.”
Namun, beliau menegaskan tindakannya tidak bermakna semua sekolah swasta lebih baik daripada kerajaan, tetapi ia adalah pilihan peribadi untuk anak-anaknya.
Dilahirkan pada 4 Julai, Ow Yong berkata mudah untuk mengingati hari lahirnya kerana ia sama dengan tarikh kemerdekaan Amerika Syarikat, manakala tahun kelahirannya 1957 adalah tahun kemerdekaan Tanah Melayu daripada Britain.
Beliau mengimbau zaman kanak-kanaknya yang membesar di kuarters kerajaan di Pulau Pulau Pinang, kerana bapanya seorang penjawat awam.
Ketika itu tiada perkauman dan semua orang bergaul dengan baik.
“Ketika kecil, saya ingat berlari-lari dan pergi ke rumah masing-masing dan berkongsi makanan tanpa masalah.
“Namun sekarang, kerana faktor persekitaran, kita menjadi lebih sensitif, yang saya fikir ia bukanlah perkara yang baik kerana kita tidak lagi bebas untuk berinteraksi dengan satu sama lain.”
Ow Yong berkata kini terdapat perasaan lebih berhati-hati dalam berinteraksi kerana bimbang menyinggung perasaan kaum lain.
“Anda tertanya-tanya jika anda melakukan sesuatu yang salah, atau jika anda menyinggung sesiapa. Anda lihat pemisahan antara kaum. Walaupun dengan orang dewasa, jika anda biar mereka memilih dengan siapa mereka mahu makan, mereka akan memilih kaum sendiri,” tambahnya.
Menjadi harapannya agar Malaysia dapat terus mengekalkan keamanan dan kebebasannya.
“Saya berharap Malaysia akan menjadi negara yang aman, dengan kebebasan dan tiada syak wasangka terhadap satu sama lain.
“Apa yang kita takuti adalah sama – takutkan kematian, sakit dan kehilangan orang yang dikasihi. Kita mempunyai emosi manusia yang sama, jadi mengapa membezakannya antara kita?
“Sekiranya kita mempunyai banyak persamaan, mengapa memberi penekanan kepada perbezaannya. Saya berharap rakyat Malaysia akan menghargai warisan bersama kita dan lebih bersatu sebagai satu bangsa.” – 4 September, 2017.
Komen