Presiden Perancis kutuk ‘jaket kuning’ anti semitik


Presiden Perancis Emmanuel Macron mengutuk penunjuk perasaan jaket kuning yang melakukan hinaan anti Semitik ke atas seorang cendekiawan terkemuka. – Gambar EPA, 17 Februari, 2019.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron mengutuk hinaan anti Semitik ke atas seorang cendekiawan terkemuka yang dilakukan penunjuk perasaan jaket kuning dan berkata, ia tidak boleh diterima sama sekali.

Berdasarkan rakaman video di media sosial, polis dilihat terpaksa campur tangan bagi melindungi ahli falsafah dan penulis Alain Finkielfraut selepas beliau menjadi sasaran penunjuk perasaan dalam rusuhan di tengah Paris semalam.

“Penghinaan anti Semitik ke atas beliau bercanggah dengan identiti dan faktor yang menjadikan kita sebuah negara hebat. Kita tidak akan bertolak ansur,” kata Macron di Twitter.

“Anak kepada pendatang Poland yang menjadi ahli akademik Perancis, Alain Finkielfraut bukan hanya terkenal dengan kebijaksanaan tetapi simbol kepada kesamarataan diberikan negara ini kepada semua orang,” katanya dalam satu lagi kenyataan di Twitter.

Video yang dipaparkan di Yahoo! News menunjukkan beberapa penunjuk perasaan melaungkan slogan berbaur perkauman seperti “Zionis kotor”, “Perancis milik kami” dan “Kami rakyat sebenar”.

“Saya amat dibenci dan malangnya, ini bukan kali pertama.

“Saya akan lebih ketakutan tanpa bantuan polis dan bersyukur mereka ada di sana (untuk membantu),” kata Finkielkraut, 69, kepada Journal du Dimanche.

Finkielkraut melahirkan rasa solidariti dan simpati dengan penunjuk perasaan sebelum itu namun menerusi wawancara yang diterbitkan semalam oleh Le Figaro, beliau mengkritik ketua gerakan berkenaan dengan berkata, “keangkuhan mengubah pendirian”. – AFP, 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen