Durian jadi simbol keganasan domestik di Britian


Durian amat digemari oleh penduduk di kebanyakan negara Asia tetapi situasi berbeza bagi penduduk di negara Barat yang tidak suka pada rasa raja buah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

DURIAN dijadikan sebagai lambang keganasan domestik dalam satu kempen di Britain kerana kebanyakan negara Barat menyifatkan buah itu memiliki rasa yang teruk.

Kempen itu melibatkan pakar pembuat coklat terkenal di London Paul A Young yang menghasilkan kotak coklat untuk membangkitkan isu keganasan domestik di Britain.

Kotak itu mengandungi tiga coklat karamel masin dan satu coklat ‘dégoûtant’ yang dihasilkan daripada durian.

Kempen itu dijalankan dengan kerjasama Woman Trust, sebuah pertubuhan kebajikan yang menyediakan sesi kaunseling dan terapi percuma kepada wanita yang terlibat dalam keganasan domestik, gangguan emosi, gangguan seksual dan lain-lain bentuk gangguan.

Menurut Young seperti dilaporkan laman web London Eater, coklat sering digambarkan sebagai pengalaman yang berharga, menyenangkan dan nyaman tetapi durian pula memberi gambaran yang sebaliknya, sama seperti isu keganasan domestik.

“Ia merupakan cara sempurna bagi menggambarkan perasan terluka kebanyakan wanita yang mengalami isu keganasan domestik dan meningkatkan tahap kesedaran umum tentangnya,” katanya.

Paul A Young menghasilkan coklat berperisan durian untuk menggambarkan perasaan wanita yang pernah mengalami keganasan rumah tangga. – Gambar Instagram, 17 Februari, 2019.

Dalam satu hantaran Instagram, beliau berkata rasa durian memberi gambaran tentang keadaan emosi dan trauma mangsa keganasan domestik,

Beliau memilih durian untuk projek itu kerana sifat semula jadi raja buah itu dan ia menimbulkan reaksi penting bagi sesiapa yang memakannya.

“Saya sudah menguji beberapa versi perisa coklat, satu daripadanya pedas, satu lagi sangat masin. Tetapi paling banyak reaksi diterima adalah durian.”

Woman’s Trust berkata isu keganasan domestik masih banyak berlaku dan menjadi jenayah yang tidak dilaporkan di Britain.

Kata pertubuhan itu satu daripada empat wanita pernah mengalami mana-mana bentuk keganasan domestik sepanjang hidup mereka. – 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen