Arab Saudi pertahan aplikasi benar lelaki pantau wanita


Pengkritik berkata aplikasi Absher mencabuli hak wanita dan kanak-kanak perempuan kerana membolehkan golongan lelaki mengesan pergerakan mereka. – Gambar EPA, 17 Februari, 2019.

KERAJAAN Arab Saudi hari ini mempertahankan sebuah aplikasi telefon untuk membenarkan golongan lelaki di negara itu memantau pergerakan saudara perempuan mereka selepas kumpulan hak asasi dan seorang Senator Amerika Syarikat (AS) mengkritik penggunaan teknologi itu.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata aplikasi Absher menyediakan perkhidmatan yang diperlukan semua ahlinya termasuk golongan wanita, golongan tua dan mereka yang memerlukan perhatian khas.

Aplikasi secara percuma itu boleh didapati dalam telefon pintar Android dan Aplle dan membenarkan penggunanya memperbaharui pasport, visa dan beberapa perkhidmatan elektronik lain.

Namun pengkritik berkata aplikasi itu mencabuli hak wanita dan kanak-kanak perempuan kerana membolehkan golongan lelaki mengesan pergerakan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook berkata beliau tidak pernah mengetahui tentang kewujudan aplikasi itu, tetapi akan menelitinya.

Senator AS Ron Wyden menggesa Apple dan Google untuk membuang aplikasi itu.

Mengikut undang-undang Arab Saudi, wanita perlu mendapatkan persetujuan daripada suami atau saudara terdekat untuk memperbaharui pasport atau keluar negara.

Kementerian negara itu menyifatkan kritikan yang dilemparkan merupakan kempen bersistematik bagi mempersoalkan tujuan perkhidmatan itu.

Kata kementerian itu, aplikasi itu dijadikan sebagai bahan politik oleh sesetengah pihak. – AFP, 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen