KEMATIAN penyerang Cardiff City, Emiliano Sala dalam satu nahas pesawat mencetuskan rasa sedih yang mendalam kepada keluarga, rakan dan penyokong di kampung halamannya di Argentina.
Sepanjang pagi semalam, orang ramai berkumpul dalam upacara vigil di gimnasium di Progreso, sebuah bandar pertanian yang kecil di wilayah Santa Fe di mana Sala membesar sebelum meninggalkan kampungnya ketika beliau remaja, untuk bermain bola di Eropah.
Sala disayangi dan dipuja oleh semua, kata seorang pemilik restoran di kampung itu.
Sala akan pulang ke kampung dan bermain bola sepak dengan kanak-kanak dan remaja di sekitar kampung itu, kata mereka. Tidak seperti bintang bola sepak lain, Sala merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaannya.
Poster gergasi pemain profesional berusia 28 tahun itu digantung di belakang kerandanya yang dibalut dengan warna merah putih, warna rasmi kelab San Martin de Progreso, di mana Sala memulakan kariernya.
Horacio, bala Sapa sangat sedih dengan kematian anaknya itu, kata ahli keluarga dan enggan keluar rumah selama beberapa hari.
Di luar kelab itu, yang menjadi lokasi utama upacara pengebumian, satu kain rentang dipasang: “Emi, anda tidak akan pernah berseorangan”.
“Dia mewakili kami,” kata presiden kelab itu, Daniel Ribero. “Kami kampung kecil dan Emi seorang selebriti, satu-satunya pemain yang berjaya menjadi profesional.”
“Dia salah seorang daripada kami. Dia sangat bermakna bagi kami.”
Lebih 3,000 orang datang memberi penghormatan terakhir.
Sala bermain untuk kelab Nantes, menjadi salah seorang penyerang utama di Perancis, sebelum menandatangani dengan kelab Cardiff City di Liga Perdana Inggeris pada Januari dalam satu urus niaga bernilai AS$19.3 juta.
Dua hari selepas itu, Sala pulang ke Nantes pada 21 Januari untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bekas teman sepasukannya.
Dalam penerbangan pulang merentasi Selat Inggeris, pesawat kecil yang membawa Sala dan juruterbang David Ibbotson terhempas berhampiran kepulauan Guernsey.
Sala dilaporkan menghantar mesej kepada rakannya dari pesawat, sedang terbang dalam cuaca buruk, dan beliau sangat takut dan pesawat itu seperti hendak berkecai.
Mayat pemain itu ditemui dalam bangkai pesawat yang tenggelam pada 7 Februari tetapi Ibbotson masih hilang.
Ribuan penyokong termasuk bintang bola sepak Perancis Kylian Mbappe dan bekas kapten pasukan England Gary Lineker – menyumbang sejumlah AS$400,000 untuk membayar operasi mencari di dasar laut selepas pihak berkuasa berhenti mencari pesawat itu.
Inkues di England kemudian menyimpulkan bahawa pemain bola sepak itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Pengurus Cardiff City Neil Warnock dan eksekutif kelab itu Ken Choo berkunjung ke Argentina bagi menghadiri upacara pengebumian itu semalam. – AFP, 17 Februari, 2019.
Komen