Anak bekas presiden Mozambique ditahan kes rasuah


Bekas menteri kewangan Mozambique Manuel Chang didakwa di AS selepas ditahan di lapangan terbang Johannesburg pada 29 Disember atas permintaan ekstradisi oleh AS. – Gambar AFP, 17 Februari, 2019.

ANAK lelaki kepada bekas presiden Mozambique, Armando Guebuza ditahan semalam dalam satu gerakan keganasan terhadap suspek dikaitkan dengan skandal hutang kerajaan AS$2 bilion, kata sumber kehakiman dan media tempatan.

Ndabi Guebuza, anak sulung daripada empat anak Guebuza, ditahan di rumahnya di ibu kota Maputo.

Stesen TV swasta STV berkata Ndabi ditahan berhubung kes hutang kerajaan yang menyebabkan negara itu terjebak dalam krisis kewangan terburuk.

“Dia antara lapan yang ditahan atas arahan peguam negara,” kata sumber kehakiman.

Pihak berkuasa Mozambique minggu ini menahan tujuh suspek lain, termasuk ahli perniagaan dan pegawai risikan berhubung skandal itu.

Skandal hutang itu tibul pada 2016, setahun selepas Guebuza menamatkan khidmatnya selama 10 tahun.

Didakwa bahawa ketika berkuasa, kerajaan di Maputo mengambil pinjaman AS$2 bilion untuk membeli kapal memancing tuna dan kapal pengawasan, tetapi menyembunyikan transaksi itu daripada Parlimen dan penderma antarabangsa.

Sebuah agensi audit bebas mendapati suku daripada jumlah pinjaman itu dialihkan, dan tidak dikira.

Ketika hutang itu didedahkan, Mozambique – antara negara termiskin dunia dan bergantung pada bantuan penderma – terbabit dalam krisis kewangan terburuk dalam sejarahnya ketika sumbangan penderma dibekukan.

Amerika Syarikat (AS) mendakwa sekurang-kurangnya AS$200 juta digunakan untuk rasuah, termasuk AS$12 juta kepada bekas menteri kewangan Manuel Chang, yang didakwa menandatangani hutang itu.

Chang, 63, ditahan di lapangan terbang Johannesburg pada 29 Disember atas permintaan ekstradisi oleh AS. Beliau tidak dibenarkan diikat jamin.

Ndabi yang juga seorang ahli perniagaan didakwa menerima AS$9.7 juta rasuah, menurut kertas pendakwaan AS. – AFP, 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen