Helikopter diguna selamatkan rakyat Kanada terperangkap di Haiti


Haiti berdepan pergolakan akibat krisis politik terburuk susulan rakyatnya berang dengan inflasi dan mendesak Presiden Jovenel Moise meletak jawatan. – Gambar EPA, 17 Februari, 2019.

SEKUMPULAN 131 pelancong Kanada diselamatkan menggunakan helikopter dari resort tepi pantai di Haiti selepas terperangkap selama seminggu di situ akibat pergolakan di negara itu.

Kumpulan pelancong itu kemudian ke lapangan terbang antarabangsa Port-au-Prince sebelum menaiki pesawat ke Kanada, kata agensi pelancongan Transat.

“Kami lega mereka dapat kembali ke Kanada, tetapi tetap bimbang dengan situasi semasa di Haiti,” kata CEO Transat Annick Guerard.

Pesawat Airbus Air Transat A310 turut membawa penumpang daripada syarikat penerbangan lain dan rakyat Kanada yang mahu pulang.

Seramai 38 orang berada dalam pesawat itu termasuk kakitangan Transat, kata kenyataan itu.

Pesawat itu dijangka mendarat di Montreal kira-kira 8:50 malam ini.

“Satu-satunya cara untuk keluar ialah dengan helikopter. Laluan darat tidak selamat,” kata pelancong Normand Rosa kepada radio Kanada.

Dalam kes berasingan, 25 pelajar sekolah menengah dari Quebec masih cuba keluar dari Haiti.

Pada Jumaat, pihak berkuasa Kanada memberi menasihati rakyatnya untuk tidak ke Haiti, susulan penutupan sementara kedutaannya di Port-au-Prince.

Sejak 7 Februari, sekurang-kurangnya tujuh maut ketika Haiti berdepan krisis politik, dengan aktiviti harian lumpuh akibat protes dan sekatan di bandar-bandar besar.

Penunjuk perasaan berang dengan inflasi dan mendakwa hampir AS$2 bilion dalam dana bantuan minyak Venezuela dicuri, serta mendesak Presiden Jovenel Moise meletak jawatan.

Kanada salah sebuah negara antarabangsa yang menyumbang kepada Haiti dan menjadi rumah kepada rakyat Haiti yang meninggalkan negara asal mereka. – AFP, 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen