PULUHAN ribu rakyat Iran mendesak “balas dendam” pada upacara pengebumian 27 Pengawal Revolusi yang terbunuh dalam serangan bunuh diri dilakukan militan, di mana Tehran menuduh Pakistan menyokongnya.
“Kerajaan Pakistan perlu menerima balasan kerana menyokong kumpulan pengganas ini,” kata Jeneral Mejar Mohammad Ali Jafari, merujuk kepada militan Jaish al-Adl (Tentera Keadilan).
“Iran tidak akan menunggu lalu dan akan bertindak balas terhadap tindakan seumpama itu,” kata Jafari di hadapan orang ramai yang bersedih di Dataran Bozorgmehr, Isfahan.
Jafari yang juga komander pasukan elit Pengawal Revolusi itu sehari sebelum kunjungan dua hari Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman ke Pakistan.
Jafari menyalahkan tentera Pakistan dan agensi risikan, berkata mereka memberi perlindungan kepada penyokong penyerang itu.
Pada Rabu, bom dibaling ke arah bas yang membawa Pengawal Revolusi di tenggara wilayah Sistan-Baluchistan, yang dekat dengan sempadan Pakistan.
Jaish al-Adl ditubuhkan pada 2012 sebagai ganti kepada kumpulan ekstremis Sunni, Jundallah (Tentera Tuhan), yang menyebabkan ramai terbunuh selama sedekad, sebelum tewas dengan penahanan dan hukuman bunuh terhadap pemimpinnya Abdolmalek Rigi pada 2010.
Jafari juga menyelar kerajaan Arab Saudi sebagai pengkhianat dan berkata Iran tidak akan lagi bertoleransi dengan sokongan tersembunyi mereka terhadap penyangak anti Islam dan kumpulan Takfiri.
Beliau menggesa Presiden Hassan Rouhani dan Majlis Keselamatan Tertinggi Negara itu memberikan pengawal lebih kebebasan untuk melaksanakan “operasi balas”.
Pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei mengaitkan serangan pada Rabu kepada “agensi risikan antara wilayah dan negara”.
Bendera hitam dikibarkan di tiang lampu di sekitar bandar Isfahan sebagai persediaan majlis pengebumian dan berkabung selama dua hari. – AFP, 17 Februari, 2019.
Komen