PULUHAN ribu penunjuk perasaan “jaket kuning” berarak seluruh Perancis semalam, tiga bulan sejak gerakan itu bermula, dan dalam seminggu ini kebimbangan antarabangsa semakin bertambah terhadap layanan polis kepada penunjuk perasaan.
Demonstrasi pada hujung minggu ke-14 secara berturut-turut itu menyaksikan 41,500 orang turun ke jalanan di seluruh negara, menurut Kementerian Dalam Negeri, turun berbanding 282,000 peserta ketika protes awal minggu ini.
Kenyataan dikeluarkan kementerian itu berkata 5,000 peserta berarak di Paris.
“Kami ada 15,000, maknanya gerakan ini sedang berkembang,” kata salah seorang penganjur gerakan itu, Jerome Rodrigues.
Rodrigues bersama tiga yang lain menyaman polis selepas cedera di mata akibat peluru getah dilepaskan oleh polis.
Pada Khamis, wakil rakyat di Parlimen Eropah meluluskan resolusi mengutuk kekerasan digunakan terhadap penunjuk perasaan selepas debat tentang penggunaan senjata kontroversi itu oleh polis Perancis.
Hari yang sama, sekumpulan pakar PBB mengutuk apa yang dikatakan sebagai tindakan tidak seimbang digunakan oleh polis dalam respons terhadap keganasan penunjuk perasaan. – AFP, 17 Februari, 2019.
Komen