Masuk Bersatu tidak bermakna selamat daripada hukuman penjara


Sheridan Mahavera

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya tetap berdepan tindakan undang-undang walaupun menyertai Bersatu, jika disabitkan bersalah dalam kes Perda. – Gambar Facebook, 17 Februari, 2019.

SHABUDIN Yahaya tetap akan berdepan tindakan undang-undang walaupun sudah menyertai Bersatu, kata pimpinan parti itu.

Penyertaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor bekas Umno itu ke dalam Bersatu tidak memberinya kekebalan jika disabitkan bersalah atas dua kes penipuan, salah guna kuasa dan kecuaian di sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang.

Mereka turut menegaskan tidak tahu-menahu bagaimana Shabudin yang merupakan bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berjaya melepasi proses saringan yang dijalankan parti sebelum menerima bekas ahli dan pemimpin Umno.

Ini kerana Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sendiri memberi jaminan bahawa setiap ahli Umno yang memohon untuk masuk parti akan disaring sama ada terlibat dengan rasuah atau jenayah. Kegiatan politik mereka sebelum ini juga akan dikaji terlebih dahulu.

Shabudin yang keluar Umno beberapa bulan lepas dan kemudian menjadi ahli Parlimen bebas, bersama-sama enam lagi bekas ahli Parlimen Umno secara rasmi diterima masuk Bersatu pada 12 Februari.

Tiga hari kemudian, Pengerusi Perda Haniff Khatri Abdulla berkata dua tuntutan saman telah difailkan terhadap Shabudin dan empat bekas pengarah berhubung dua jualan tanah untuk pembangunan ketika mereka menjawat jawatan itu, yang menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.

Isu politik tidak ada kena mengena dengan Perda iaitu agensi persekutuan yang ditugaskan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat, kata Pengerusi Perda Haniff Khatri Abdulla. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

Penjualan tanah itu didakwa di bawah pengetahuan Shabudin dan empat bekas pengarah berkenaan.

Haniff berkata Perda akan meneruskan tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula dua bidang tanah itu atau pampasan termasuk faedah, walaupun mereka sudah menyertai parti kerajaan.

Isu politik katanya, tidak ada kena mengena dengan Perda iaitu agensi persekutuan yang ditugaskan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Sesiapa masuk parti politik apa pun bukan masalah Perda. Perda bukan entiti politik. Kami tidak dipengaruhi oleh perubahan politik. Kami tidak akan berhenti mengambil tindakan, tanpa mengira latar belakang politik seseorang itu,” katanya yang juga ahli Bersatu.

Dalam tuntutan samannya, Perda mendakwa dua bidang tanah di Nibong Tebal, Pulau Pinang dijual di bawah harga pasaran dan menyebabkan agensi itu rugi RM19.9 juta.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada awal minggu ini.

Shabudin dalam responsnya berkata, beliau akan memberi kerjasama dalam siasatan dan mendakwa pembelian tanah terbabit adalah sah.

Keahlian Bersatu bukan kad bebas penjara, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin berkata penyertaan Shabudin dan mana-mana bekas pemimpin Umno tidak akan membersihkan mereka daripada salah laku di masa lalu.

“Keahlian Bersatu bukan kad bebas penjara,” kata Rais.

“Setiap ahli tertakluk kepada kedaulatan undang-undang, tiada yang terkecuali, tak macam dulu,” kata Rais, merujuk kepada Umno yang dituduh melindungi pemimpin daripada siasatan jenayah ketika ia berkuasa dahulu.

Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’Aman yang mengetuai unit integriti dalam sayap Pemuda, berkata beliau tidak tahu bagaimana Shabudin berjaya melepasi proses saringan.

“Kita kena tunggu keputusan mahkamah. Jika mahkamah memutuskan yang Shabudin bersalah, maka parti harus ambil tindakan terhadapnya.”

Sama seperti bekas ahli dan pemimpin Umno lain, Shabudin dilarang bertanding untuk merebut mana-mana jawatan dalam parti sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Dr Faiz. – 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen