Pengundi Semenyih pentingkan ekonomi berbanding isu kaum, agama


Chan Kok Leong

Pengundi di DUN Semenyih lebih peduli dengan janji kerajaan yang belum dipenuhi seperti kos sara hidup dan larangan merokok di restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

WALAUPUN pemerhati menjangkakan isu kaum dan agama lebih banyak digunakan dalam tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, pengundi bagaimanapun lebih peduli dengan janji kerajaan yang belum dipenuhi seperti kos sara hidup dan larangan merokok di restoran.

“Mereka tidak pernah memenuhi separuh daripada janji yang dibuat dalam pilihan raya lalu,” kata Soiy Johan seorang pengawal keselamatan di Tesco Semenyih.

Soiy berkata tidak banyak berubah sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

“Ketua kampung yang baru dilantik oleh PH masih dari Umno walaupun dia kini mempunyai bendera Bersatu, harga masih tinggi dan harga petrol masih turun naik,” kata bapa kepada anak berusia lima tahun itu.

“Satu-satunya yang berubah setakat ini ialah saya mendapat RM300 daripada kerajaan hari ini berbanding RM1,200 di bawah Barisan Nasional (BN),” katanya.

Soiy dari keturunan Minangkabau berkata dia mengundi PAS di Kampung Sesapan Batu Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas dan akan mengundi BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih pada 2 Mac nanti.

Katanya, BN hanya kalah dalam PRU14 kerana Najib Razak.

“Saya tolak BN kerana Najib Razak tetapi tidak ada beza pun selepas PH menang,” katanya.

Soiy Johan, pengawal keselamatan di Tesco Semenyih berkata tidak banyak berubah sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

Penganalisis politik menjangkakan sentimen bangsa dan agama yang digunakan dengan baik di PRK Cameron Highlands bakal digunakan di Semenyih tetapi mungkin tidak berfungsi dengan baik di kerusi Selangor.

Tiket bangsa dan agama dijangka digunakan di Semenyih kerana majoritinya penduduk Melayu dan Umno akan berdepan dengan Bersatu.

Ini kali pertama berlaku dalam semua enam PRK sejak PRU14.

“Kami di sini tidak seperti mereka (di Cameron Highlands),” kata veteran tentera, Zainuddin Mohd.

“Apa mereka boleh buat? Beritahu kami ahli DAP adalah komunis?” katanya.

Pengundi dari Kampung Sungai Jai itu berkata terdapat juga komunis Melayu pada masa lalu dan taktik yang mereka gunakan tidak akan berfungsi di Semenyih.

Keprihatinan yang lebih besar baginya ialah jumlah kampung Melayu yang semakin lama diambil oleh pemaju hartanah.

“Kampung Sesapan Kelubi dulu besar tetapi kini semakin kecil apabila ada yang menjual tanah mereka kepada pemaju,” katanya.

Pemandu lori bersara, Osman Yusop berkata, kos sara hidup masih belum turun meskipun PH berjanji untuk membaiki taraf ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

Terletak di belakang jalan raya utama Jalan Semenyih terdapat kira-kira 13 kampung di sepanjang jalan menuju ke Bukit Broga dan Bukit Arang.

Walaupun kampung berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan seperti Kampung Sungai Jai, Sesapan Minangkabau dan Sesapan Batu Rembau masih tidak disentuh, kampung lain seperti Sesapan Batu Rembau, Kampung Rinching dan Sesapan Kelubi tidak bernasib baik.

Perkembangan utama seperti Eco Hill, Sunway Semenyih, Bandar Tasik Kesuma dan Eco Majesty merosakkan keamanan kawasan pinggir kampung.

Di Sesapan Minangkabau, bekas pegawai Yayasan Selangor, Yunos Jai berkata hanya dalam masa sebulan semua kampung itu hilang.

“Kehidupan di kampung sudah banyak berubah. Kebanyakan belia di sini bekerja di kilang dan kawasan kampung kosong sepanjang hari.

“Jam 5 petang baru ada nampak warung dibuka dan kehidupan kembali normal.

Pemandu lori bersara Osman Yusop berkata kos sara hidup masih belum turun meskipun PH berjanji untuk membaiki taraf ekonomi.

“Saya tak jangkakan harga turun banyak tapi sekurangnya turunlah sedikit,” katanya. – 17 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen